Aksi bintang baru England memukau

Aksi bintang baru England memukau

LONDON, 19 Nov (Reuters) – Bintang baru England Dele Alli mengharapkan penjaga gol Perancis Hugo Lloris, kapten yang juga rakan sepasukan di Spurs, memuji persembahannya selepas dia menjaringkan gol antarabangsa pertamanya bersama skuad senior pada perlawanan yang menyaksikan England menang 2-0 semalam.

Alli, 19, meledak gol selepas 39 minit permainan di Wembley menerusi rembatan dari jarak 25 meter yang gagal diselamatkan Lloris.

“Ia sesuatu yang sangat istimewa, saya gembira kerana dapat menjaringkan gol tetapi masih belum mahu berfikir mengenai Kejohanan Eropah atau Piala Dunia kerana masih banyak yang perlu saya pelajari dalam pasukan England,” katanya.

“Tapi Hugo membuatkan saya tidak akan lupa dengan jaringan itu. Dia banyak membantu saya ketika latihan di kelab,” kata pemain tengah Tottenham Hotspur itu.

Alli yang hanya beraksi 16 kali bersama Spurs sejak menyertai pasukan itu dari Milton Keynes Dons adalah antara empat pemain kelab berkenaan yang diturunkan.

Pemain lain ialah Eric Dier, 21, Harry Kane, 22, dan Lloris manakala Ryan Mason dan Kyle Walker berada di bangku simpanan England.

Lloris yang masih kelihatan sedih berikutan tragedi serangan di Paris berkata, adalah tidak mengecewakan jika dia ditewaskan rakan yang beraksi dalam kelab sama dengannya.

“Jaringan itu menarik,” katanya. “Kita lihat sama ada dia mampu melakukannya dalam latihan selepas ini,” kata kapten Perancis itu.

Jurulatih England Roy Hodgson turut memuji Alli dan menganggap prestasi pemain muda itu sebagai sempurna.

“Aksi seperti itulah yang kami mahukan daripada seorang pemain muda. Dia sangat luar biasa. Saya yakin dia akan menerima banyak pujian dan dia berhak mendapatnya.”

Alli terlepas peluang pada minit ke-19 tetapi kapten England Wayne Rooney turut mencuri tumpuan.

Rooney yang meledak gol ke-51 bersama England menerusi voli pada awal babak kedua berkata: “Adalah hebat apabila anda baru berusia 19 tahun tetapi berjaya menjaringkan gol pertama bersama England.

“Dia mempunyai banyak tenaga dan kelihatan sangat berbahaya pada babak kedua. Kita pernah lihat kemampuannya ketika mewakili Spurs dan kami mahu menggunakan kelebihannya itu untuk England.”

ARTIKEL YANG SAMA