Aksi bola sepak veteran semakin rancak

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mac – Empat lagi perlawanan berlangsung bagi Piala Presiden Satu dan Piala Presiden Dua, Kejohanan Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei DST 2017 pada minggu kedua ini.

Pada Jumaat lalu, dua perlawanan telah berlangsung antaranya dalam Piala Presiden Satu, menyaksikan Pasukan Riwayat FC membenam Pasukan Rimba Star dengan jaringan besar 7-1.

Dalam Piala Presiden Dua pula menyaksikan Pasukan KPPKSK juga mencatatkan jaringan besar iaitu sebanyak tujuh gol untuk menumpaskan Pasukan Medai FC yang hanya mampu menjaringkan satu gol sagu hati.

Hari ini jadual kejohanan bola sepak diteruskan lagi dengan berlangsungnya dua perlawanan antaranya perlawanan antara Manggis FC menentang Pasukan Stoneville FC di Kompleks Sukan Sungai Kebun. Stoneville, pasukan dari Daerah Temburong, bertandang ke kompleks sukan tersebut dengan mencatatkan kemenangan apabila menumpaskan pasukan Manggis FC dengan jaringan 2-5.

Samin Duraman menjadi wira Stoneville apabila berjaya mencipta hatrik dalam perlawanan hari ini, melengkapkan hatrik dalam tempoh 30 minit di separuh masa pertama.

Barisan pemain Pasukan Al-Idrus SC bergambar ramai sebelum perlawanan hari ini.
Barisan pemain Pasukan Al-Idrus SC bergambar ramai sebelum perlawanan hari ini.

Melihat kepada keadaan ini pasukan Manggis FC cuba bangkit dan usaha mereka berhasil apabila Zabidi Haji Brahim berjaya membolosi gawang Stoneville pada minit ke-41. Separuh masa pertama berakhir dengan Stonevill mendahului 3-1.

Di separuh masa kedua, dua jaringan dalam masa tiga minit stoneville telah meranapkan harapan Pasukan Manggis FC untuk menyaingi pasukan pelawat itu, apabila Haji Adam bin Haji Musa berjaya menjaringkan gol pada minit ke-76 dan selang tiga minit kemudian ditambah pula oleh Adi Merhain Haji Bariul untuk menjadikan kedudukan 5-1.

Pada minit terakhir, Safaruddin Haji Mohd Salleh daripada Manggis FC berjaya menambahkan gol sagu hati bagi pasukannya, namun sudah terlambat dan kedudukan kekal hingga wisel penamat.

Satu lagi perlawanan dalam Piala Presiden Dua menyaksikan Pasukan Al-Idrus SC menang mudah ke atas Pasukan Mengelela dengan jaringan 3-0, menerusi jaringan Roslan Duraman, Jamil Haji Ahmad dan Aide Awang.