Aksi futsal Piala Keputeraan semakin hangat

Aksi futsal Piala Keputeraan semakin hangat

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Kini hanya tinggal lapan pasukan yang akan berentap merebut gelaran juara Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2016 selepas menang perlawanan masing-masing di pusingan kedua kejohanan.

Pasukan-pasukan yang berjaya mara ke peringkat suku akhir itu ialah Rizfiz FT, Red Butterfly, JS FT, Giovani ‘A’, Waza U19, PES, Pega Star FC dan juara bertahan, Arbisyam FC.

Rizfiz FT mara selepas menang sepakan penalti penentuan 5-4 ke atas Kota Junior, sementara Red Butterfly perlu melalui dua perlawanan sebelum mara iaitu bermula dengan kemenangan 4-0 ke atas Shah United ‘A’ dan kemudiannya 2-0 ke atas Giovani ‘B’.

Begitu juga JS FT yang menang 4-3 ke atas Sahabat FC dalam sepakan penalti penentuan disusuli dengan kemenangan 1-0 ke atas GG FT. Giovani ‘A’ pula mara selepas menang tipis 1-0 ke atas Creativol FT.

Waza U19 melayakkan diri ke suku akhir selepas menewaskan Street United FT 1-0, sementara PES menang dua perlawanannya dalam sepakan penalti penentuan, mula-mula 2-1 ke atas Matahari FT dan kemudiannya 5-3 ke atas First Five FT.

Pertembungan Giovani A (biru putih) dengan Creativol di pusingan kedua Piala Keputeraan 2016 yang dimenangi Giovani A, 1-0.
Pertembungan Giovani A (biru putih) dengan Creativol di pusingan kedua Piala Keputeraan 2016 yang dimenangi Giovani A, 1-0.

Juara Piala Keputeraan 2014, Arbisyam FC kekal dalam laluan mengekalkan kejuaraannya apabila menang 4-3 ke atas MS PDB dalam sepakan penalti penentuan, yang kemudiannya disusuli oleh pasukan sedaerahnya, Pega Star FC, yang turut menang 4-3 menerusi sepakan penalti penentuan ke atas NJP FT.

Pada aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 24 September nanti, Rizfiz FT akan berlawan dengan Red Butterfly, JS FT lawan Giovani ‘A’, Waza U19 menentang PES dan Arbisyam FC akan bersaing dengan Pega Star FC.

Kejohanan yang disambung dengan peringkat suku akhir bermula pukul 7 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu kemudiannya akan diteruskan dengan perlawanan peringkat separuh akhir dan peringkat akhir.

Sejumlah 40 buah pasukan yang dibahagikan kepada 10 buah kumpulan menyertai kejohanan anjuran Jawatankuasa Pertandingan Kejohanan Futsal Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 Tahun dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD).

ARTIKEL YANG SAMA