Aksi lawan pe...

Aksi lawan pedang semakin sengit

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Awang Muinuddin Masri menjadi pelawan pedang negara yang ketiga meraih pingat di Kejohanan Lawan Pedang Terbuka Brunei 2017 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, meskipun terpaksa akur kepada pelawan pedang Filipina, Fancisco Borja di peringkat separuh akhir semalam.

Awang Muinuddin berkongsi pingat gangsa bersama pelawan pedang Myanmar, Aung Wine Thet apabila berjaya mara ke pusingan kedua dan mengalahkan rakan sepasukan iaitu As Ali Harisman dengan mata 15 – 11 sebelum menewaskan seorang lagi peserta negara iaitu Firdaus Rashid di peringkat suku akhir dengan mata 15 – 11.

Tampil menjuarai emas dalam Kategori Epee Individu BOFC itu adalah peserta Filipina, Francisco Burja yang menumpaskan rakan sepasukannya iaitu Michael De Leon Tan yang meraih pingat perak bagi ketegori tersebut.

Sementara itu, empat peserta Filipina memonopoli kategori yang sama bahagian wanita apabila Maylene Pailma tampil dengan pingat emas diikuti oleh Allaine Nicole Cortey dengan pingat perak dan Cherie Manago dan Precious Sapungan pula berkongsi pingat gangsa.

Antara aksi pelawan pedang di Lawan Pedang  Terbuka Brunei lewat petang hari ini.
Antara aksi pelawan pedang di Lawan Pedang Terbuka Brunei lewat petang hari ini.

Manakala hari ini pula menyaksikan Jin Quan Lim dari Malaysia menewaskan Min Thiha dari Myanmar dengan mata 15 – 6 untuk merangkul emas Kategori Foil Individu BOFC 2017. Manakala Awang Qawi Iskandar mencatatkan namanya sebagai peserta Brunei Darussalam keempat untuk naik ke podium apabila berkongsi gangsa dengan peserta Filipina, Ja Villanueva.

Jin Quan pada pusingan kedua mengalahkan peserta tuan rumah, Awang Matin Amran dengan mata 15 – 1 sebelum menumpaskan pula peserta Filipina, Robin E. Limjoco dengan mata 15 – 4 pada peringkat suku akhir, meneruskan momentum kemenangan dengan menewaskan Ja Villanueva dengan mata 15 – 12 pada peringkat separuh akhir untuk mara ke peringkat akhir lewat petang hari ini.

Sementara itu Sasithorn Tiebpia dari Thailand pula meraih emas dalam acara yang sama bagi wanita apabila menumpaskan rakan senegaranya dalam perlawanan akhir hari ini dengan mata 15 – 12.

Sementara tampil berkongsi pingat gangsa adalah peserta dari Malaysia Laura Simon dan peserta Thailand, Kanyap Meechai.

ARTIKEL YANG SAMA