Aksi Liverpool, Sevilla guna GLT

Aksi Liverpool, Sevilla guna GLT

BASEL, 18 Mei (AFP) – Teknologi garisan gol Hawk-Eye (GLT) bakal digunakan buat kali pertama oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) ketika pertembungan final Liga Europa antara Sevilla dan Liverpool di Basel, awal pagi esok.

Meskipun sudah digunakan dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Bundesliga Jerman dan Serie A Itali, GLT masih belum pernah dipraktikkan dalam perlawanan UEFA sebelum ini.

Teknologi itu juga akan digunakan ketika perlawanan final Liga Juara-Juara di Milan pada 28 Mei ini dan juga temasya Kejohanan Eropah di Perancis pada musim panas ini.

“Dengan GLT memberi tumpuan kepada garisan gol, pembantu tambahan (AARS) boleh memberi fokus penuh bagi mengawasi sebarang insiden di kotak penalti, kawasan paling utama di atas padang,” kata legenda pengadil yang sudah bersara dari Itali, Pierluigi Collina.

Januari lalu, Pegawai Jawatankuasa UEFA memutuskan untuk memperkenalkan GLT, teknologi yang akan digunakan seiring dengan AARS.

“Teknologi garisan gol dan pembantu tambahan pengadil saling melengkapkan antara satu sama lain,” kata Collina.

“Tugas utama AARS bukanlah untuk mengawasi garisan gol dan memutuskan sama ada bola sudah melepasi garisan; berbanding mereka lebih bertanggungjawab untuk menilai setiap apa yang berlaku dalam kotak penalti secara keseluruhan, membantu pengadil pertama untuk membuat keputusan penting di dalam kotak berkenaan.”

Teknologi Hawk-Eye itu membabitkan penggunaan tujuh unit kamera di setiap gawang dengan dilengkapi perisian bagi mengesan bola sama ada sudah melepasi garisan gol atau belum.