Aksi pada final Liga Europa tumpuan Allen

Aksi pada final Liga Europa tumpuan Allen

LIVERPOOL, 10 Mei (AFP) – Pemain tengah Liverpool, Joe Allen terdesak untuk menampilkan permainan terbaiknya ketika bertemu Chelsea, awal pagi Khamis bagi memburu tempat beraksi di pentas final Liga Europa.

Allen lebih banyak menghabiskan masanya di bangku simpanan daripada disenarai dalam kesebelasan utama Jurgen Klopp musim ini namun ketika dia diturunkan, permainan yang ditampilkan cukup baik malah turut meledak gol ketika Liverpool mencatat kemenangan 2-0 ke atas Watford, minggu lalu.

Liverpool masih berbaki dua perlawanan liga menentang Chelsea dan West Bromwich Albion dalam kempen liga sebelum mengharungi perlawanan final Liga Europa menentang Sevilla di Basel pada 18 Mei ini.

Klopp menegaskan dia masih belum mendapat bayangan kesebelasan utamanya pada perlawanan peringkat Eropah itu yang memberi peluang buat Allen dan rakan sepasukannya untuk memberikan persembahan terbaik ketika melayan kunjungan Chelsea di Anfield.

“Dengan perlawanan final makin hampir, kami mahu menggunakan segala peluang yang kami miliki di atas padang dan membina momentum menjelang perlawanan menentang Sevilla,” kata Allen.

Joe Allen (tengah) meraikan jaringan semasa menentang Watford di Anfield, kelmarin. – AP
Joe Allen (tengah) meraikan jaringan semasa menentang Watford di Anfield, kelmarin. – AP

“Untuk berkata jujur, setiap masa kamu keluar dan beraksi untuk pasukan kamu, kami perlu membuktikan yang kamu harus beraksi dalam perlawanan seterusnya, tidak kira perlawanan apa.

“Sudah tentu ia menjadi insentif tambahan dalam beberapa perkara ketika perlawanan final hampir tiba. Dalam fikiran saya, ketika saya melepasi garisan, saya sentiasa mahu beraksi dengan baik dan membantu pasukan mendapatkan keputusan, tidak kira siapa yang bermain.”

Liverpool memulakan kempen musim ini dengan goyah sehingga pemecatan pengurus, Brendan Rodgers namun masih boleh berpeluang menamatkan kempen setinggi tempat keenam liga.

Untuk melakukannya, mereka tidak boleh melepaskan mata dalam kedua-dua perlawanan terakhir.

ARTIKEL YANG SAMA