Aksi persahabatan penting buat Sepanyol

Aksi persahabatan penting buat Sepanyol

LONDON, 15 Nov – Sepanyol melihat aksi persahabatan bertemu England di Wembley awal pagi ini sebagai peluang terbaik untuk menilai peningkatan pasukan di bawah kendalian Julen Lopetegui (gambar), kata bintang tengah, Sergio Busquets.

Lopetegui dilantik selaku jurulatih pada Julai susulan persaraan Vicente del Bosque yang meletak jawatan selepas Sepanyol tersingkir di peringkat 16 terakhir Euro 2016 di Paris.

Dia sudah menang empat dan seri satu dalam lima pertemuan bersama La Roja dan Busquets percaya aksi bertemu England, yang juga dikendalikan pengurus sementara, Gareth Southgate akan menunjukkan sejauh mana kemajuan sudah dicapai.

“England pasukan yang menakjubkan dan ramai pemain terbaik,” kata pemain tengah Barcelona berusia 28 tahun itu menjelang aksi di Wembley.

“Seperti yang berlaku kepada kami baru-baru ini, mereka tidak meraih keputusan baik di kejohanan, sama ada di Piala Dunia atau Euro. Namun ia masih menjadi aksi besar malam nanti (awal pagi), bagi pemain dan persiapan Sepanyol sebagai pasukan.

“Kami memiliki kumpulan baru dengan ramai muka baru dan pemain muda yang menyertai pasukan baru-baru ini dan kami tidak banyak bermain dengan pengurus. Ia adalah peluang yang baik untuk menentang pasukan yang baik dan terus meningkat sebagai satu pasukan.”

Sejak dipanggil buat pertama menyarung jersi Sepanyol pada perlawanan persahabatan dengan England pada Februari 2009, Busquets dijadual beraksi dalam penampilan ke-94 jika disenaraikan bermain.

Dia turut berada dalam pasukan yang menjulang Piala Dunia 2010 dan Euro 2012. Sekali pun terselamat di bawah kendalian Lopetegui, bintang Barcelona itu mengakui tidak memikirkan mengenai pencapaiannya sebelum ini. – AFP