Aksi Pogba dikutuk peminat

Aksi Pogba dikutuk peminat

MILAN, 30 Ogos (AFP) – Paul Pogba mungkin disenaraikan selaku pemain simpanan manakala pertahanan baru, Alex Sandro bakal turun ketika Juventus bertandang ke Roma untuk mengharungi aksi berprofil tinggi pertama di Serie A musim ini.

Aksi pertama Pogba di Serie A tidak menjadi ketika dia mahu menyesuaikan diri tanpa kelibat bekas rakan sepasukannya, Arturo Vidal dan Andrea Pirlo.

Juventus mendominasi perlawanan itu, tetapi gagal menghasilkan gol meskipun mencipta banyak peluang dan Pogba pula mempamer aksi longlai, sekali gus menjadi bahan kutukan peminat di Twitter.

Pada perlawanan itu, juara bertahan berkenaan tewas 0-1 di tangan Udinese dan justeru, mereka boleh membayangkan aksi lebih sengit pada pertemuan kedua nanti.

Satu lagi perkara yang membuatkan Juventus agak tidak senang ialah apabila Nicola Rizzoli akan mengadili perlawanan menentang Roma, esok.

Pogba (kiri) ketika menentang Udinese di Turin, 23 Ogos lalu. – Reuters
Pogba (kiri) ketika menentang Udinese di Turin, 23 Ogos lalu. – Reuters

Selepas melayangkan kad merah kepada pemain Juventus dan Roma selain mengarahkan jurulatih Roma Rudi Garcia duduk di tempat duduk penonton, beliau menjadi pengadil paling dibenci peminat Roma.

Aksi buruk Pogba membuatkan dia diletakkan di bangku simpanan, manakala tempatnya digantikan Simone Padoin dan jurulatih Massimiliano Allegri bakal memberikan Sandro penampilan pertamanya.

Sandro biasanya bermain di bahagian pertahanan kiri, tetapi dia juga boleh diturunkan di posisi tengah Juve jika formasi 3-5-2 digunakan.

Sandro berkata, dia tidak sabar untuk membuktikan kebolehannya.

“Kami akan bertemu Roma dan sama seperti perlawanan besar lain, ia pasti sengit. Tetapi, semuanya terpulang kepada jurulatih, jika beliau mengarahkan saya bermain, saya sudah sedia,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

ARTIKEL YANG SAMA