Aksi teruk Tiger Woods berterusan

Aksi teruk Tiger Woods berterusan

TACOMA, AS, 19 Jun (AFP) – Tiger Woods melempar peralatan golfnya, menyepak tanah selain cuba mengikat tali kasutnya selepas melakukan pukulan tee buruk pada lubang kelapan untuk melihat sama ada ia mampu mengubah nasibnya.

Tiada satu pun yang dilakukan, berhasil selepas juara 14 kali gelaran Major golf itu melakukan empat bogey pada sembilan lubang pertama di pusingan pembukaan Terbuka AS di Lapangan Chambers Bay, di sini sebentar tadi.

Selepas melakukan tiga bogey daripada empat lubang awal, Woods terus bergelut dengan pukulan tee, malah terlepas rutin pukulan putt pada jarak lima kaki untuk melakukan par dan menamatkan pukulan empat atas par 74.

Lapangan mempunyai gaya aneh di Chambers Bay ini adalah satu daripada lapangan paling panjang dalam sejarah Terbuka AS dengan pelbagai ketinggian padang yang hanya menambah tuntutan mental dan fizikal kepada pemain.

Ia bermula daripada lubang keempat sehingga lubang ketujuh yang dianggap satu daripada lubang par empat paling sukar oleh pemain sepanjang musim ini.

Reaksi Woods membuat pukulan pada lubang pertama pusingan pembukaan Terbuka AS di Chambers Bay semalam. – Reuters
Reaksi Woods membuat pukulan pada lubang pertama pusingan pembukaan Terbuka AS di Chambers Bay semalam. – Reuters

Jadi dengan tahap permainan Woods ketika ini, dia boleh dianggap bernasib baik kerana mengharunginya dengan dua di atas par. Ketika bekas pemain nombor satu dunia itu merasakan mimpi ngerinya berakhir, dia disajikan dengan cabaran lubang kelapan par lima dengan jarak 602 kaki (183.49 meter).

Bermula dengan pukulan tee yang menghala ke tebing curam yang memberikannya kedudukan yang janggal untuk membuat pukulan seterusnya, Woods terpaksa mengambil masa lama sambil mengikat tali kasutnya untuk memikirkan kesukaran yang dihadapi.

Membuat pukulan dengan penuh kekuatan, Woods begitupun berang selepas turut memukul bahan lain yang menyebabkan dia melempar club ke belakang sejauh 30 kaki (9.14 meter).

Woods kemudian memungut kembali peralatannya dan melihat sama ada ia rosak atau bengkok. Dia kemudian meneruskan permainannya namun melihat bola yang dipukulnya mendarat di kawasan lebih sukar.

Begitupun di sebalik kesukaran yang dihadapinya, Woods berjaya membawa bola ke kawasan green pada pukulan ketiga yang memberinya peluang untuk melakukan birdie pada jarak 29 kaki (8.83 meter).

Begitupun, pukulan putt yang dilakukannya pendek sekali gus menamatkan lubang kelapan dengan par.

Ketika Woods melakukan putt pada lubang keenam, sebuah kapal terbang kecil melintasinya dengan kain rentang bertulis ‘penipu’ yang merujuk kepada pergolakan rumah tangga yang membawa kepada perceraian pada 2010 dengan bekas isteri, Elin Nordegren.

ARTIKEL YANG SAMA