Akta hak Sabah, Sarawak mungkin dipinda

KOTA KINABALU, 8 Mac – Pindaan mungkin perlu dibuat terhadap akta dan perkara tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan urusan mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963, berjalan lancar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini.

Sambil menegaskan proses berkenaan akan mengambil masa, beliau berkata Jabatan Peguam Negara sedang tekun menguruskan perkara itu.

“Kami perlu teliti. Sesetengahnya memerlukan pindaan kerana ia melibatkan badan kehakiman, pengasingan kuasa, pengagihan ekonomi dan sebagainya.

“Sebenarnya, kira-kira dua minggu lepas, saya terima sepucuk surat daripada Jabatan Peguam Negara supaya dibawa kepada Kabinet beberapa peruntukan yang perlu diubah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Ang Pow di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Good Shepherd di sini. – Bernama