Akta Pemeliharaan Buku diserahkan

Akta Pemeliharaan Buku diserahkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Jabatan Muzium-muzium Brunei telah menyerahkan Akta Pemeliharaan Buku-buku 1967, Edisi Semakan 1984 kepada Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka yang berperanan sebagai Pusat Kawalan ISBN dalam majlis penyerahan yang diadakan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis penyerahan akta berkenaan telah disaksikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Dokumen penyerahan dan penerimaan telah masing-masing ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Muzium-muzium Brunei, Pengiran Dr. Karim bin Pengiran Haji Osman dan Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, akta itu, yang pada asal dikenali sebagai Undang-undang Pemeliharaan Buku 1967, merupakan satu undang-undang yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negeri bagi tujuan penyimpanan dan pemuliharaan buku-buku yang dicetak dan diterbitkan di Negara Brunei Darussalam.

Undang-undang berkenaan telah dikuatkuasakan pada 1967 sebagaimana yang disyaratkan dalam Warta Kerajaan Brunei Naskhah lV Bilangan 3 bertarikh 18 Januari 1967.

Pada 1984, Undang-undang Pemeliharaan Buku-Buku 1967 telah dipinda kepada Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1967, edisi semakan 1984.

Antara yang ditekankan di dalam Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1967, edisi semakan 1984, Bab 3 (1) memberi tafsiran: Setiap penerbit di Negara Brunei Darussalam adalah dikehendaki untuk menyerahkan tiga naskhah terbaik bahan-bahan yang diterbitkan kepada Pengarah Muzium-muzium Brunei, penerbit juga dikehendaki untuk menyerahkan bahan-bahan terbitan mereka sama ada untuk dijual atau sebaliknya dalam masa satu bulan selepas penerbitannya atas perbelanjaan mereka sendiri.

‘Buku-buku’ atau bahan-bahan yang diserahkan hendaklah lengkap dan baik dari segi fizikal dan bukannya bahan-bahan yang rosak atau lebih-lebihan bahan yang tidak digunakan.

Manakala itu, dalam Bab 3 (3) penerbit yang gagal menyerahkan hasil terbitan mereka menjadi satu kesalahan dan jika sabit kesalahan akan dikenakan penalti sebanyak $6,000 dan juga harga buku yang diterbitkan.

Penyerahan akta ini nanti akan dapat menyokong visi dan misi Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menggalakkan dan meluaskan penggunaan buku, maklumat dan bahan perpustakaan melalui perkhidmatan rujukan dan seterusnya dapat juga mengawal semua terbitan yang diterbitkan di Negara Brunei Darussalam kerana Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka berperanan sebagai Pusat Kawalan ISBN.

Penyerahan sebahagian besar bahan-bahan akta yang di bawah kawalan Jabatan Muzium-muzium Brunei itu juga dapat meningkatkan koleksi Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei secara keseluruhan bagi menaik taraf Perpustakaan Dewan Bahasa dan termasuk pelaksanaan sistem E-library yang akan membantu menyebarluaskan buku-buku terbitan Brunei khususnya bahan-bahan di bawah kawalan akta tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA