Akta rasuah dipinda

Akta rasuah dipinda

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan Perintah Akta Pencegahan Rasuah (Pindaan) 2015 yang berkuat kuasa pada 8 Zulhijjah 1436H bersamaan 22 September 2015M.

Perintah baru ini adalah berdasarkan perbincangan dan usaha bersama di antara Biro Mencegah Rasuah dan Pejabat Peguam Negara dan memperkenalkan kesalahan-kesalahan baru yang berkaitan dengan salah laku dalam perkhidmatan awam (misconduct in public office) serta penyalahgunaan kuasa dan jawatan oleh pegawai dan kakitangan kerajaan, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara hari ini.

Peruntukan kesalahan-kesalahan ini membenarkan bagi tindakan undang-undang diambil terhadap pegawai-pegawai atau kakitangan kerajaan yang tidak menjalankan fungsi mereka dengan taraf etika yang tinggi jika kegagalan mereka disahkan sebagai salah laku dalam perkhidmatan awam.

Peruntukan baru iaitu Bab 12A memperuntukkan kesalahan bagi pegawai dan kakitangan kerajaan untuk menggunakan duit kerajaan bagi tujuan persendirian, memberikan layanan keutamaan yang tidak wajar, menyalahgunakan maklumat yang diperoleh semasa menjalankan tugasnya dan mengendalikan dirinya dalam cara yang menyebabkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan tugas umum.

Sementara itu, Bab 12B memperuntukkan kesalahan bagi seorang pegawai kerajaan yang mempunyai kewajipan awam yang diamanahkan kepadanya dengan sengaja, cuai menjalankan kewajipan tersebut atau dengan sengaja menyalahgunakannya untuk niat yang tidak berpatutan.

Hukuman bagi kesalahan di bawah Bab 12A dan Bab 12B ialah denda sebanyak $30,000 dan penjara tujuh tahun.

Kesalahan bagi kedua-dua peruntukan tersebut bolehlah didakwa tanpa melibatkan bukti rasuah atau apa-apa keuntungan kewangan. Seorang pegawai kerajaan boleh didapati bersalah sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati dia terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau budi bicara, penyalahgunaan jawatan rasmi atau kegagalan mengisytiharkan konflik dalam kepentingan.

Senarai Badan Awam yang terdapat dalam Jadual Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) dan Tafsiran ‘Badan Awam’ dalam Bab 2 Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) juga dipinda untuk memasukkan syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (Government Linked Companies) dan badan berkanun.

Tujuan utama pindaan ini adalah untuk menangani kebimbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui titah Baginda semasa lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei, Gadong pada 10 Jamadilakhir 1436H bersamaan dengan 31 Mac 2015 berkenaan dengan ‘rasuah dalam bentuk penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi’.

Menurut kenyataan itu lagi, pindaan ini memastikan bahawa Negara Brunei Darussalam mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Terhadap Rasuah (UNCAC) yang mana Brunei telah meratifikasikan konvensyen tersebut pada 2 Disember 2008 dan juga bertujuan untuk mempromosikan integriti dan kejujuran dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA