Aktif, bekerjasama naikkan nama kampung

Aktif, bekerjasama naikkan nama kampung

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Penduduk Kampung Pelambayan disarankan supaya sentiasa menyokong usaha-usaha yang dirancang dengan menyertai secara aktif serta kerjasama padu bagi sama-sama membantu menaikkan nama kampung itu menjadi sebuah kampung yang aktif dan bersemangat maju.

Ini kerana dengan adanya sokongan padu masyarakat kampung, matlamat semua usaha dan aktiviti kampung itu akan dapat dicapai seperti yang diharapkan, kata Ketua Kampung Pelambayan, Haji Hanipah bin Begawan Pehin Udana Khatib Haji Junit.

Beliau membuat saranan itu dalam ucapan alu-aluan Majlis Jualan Amal dan Walkaton Amal bagi Anak-anak Yatim, Sosial dan Kebudayaan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pelambayan ke-7 bagi 2016 bertempat di perkarangan rumahnya, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar, yang kemudiannya telah merasmikan Jualan Amal dan Walkaton Amal anjuran MPK Pelambayan.

Hadir sama ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Gapor@Haji Mohd Daud bin Karim yang juga Ketua Kampung Belimbing, Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Naim bin Haji Kamis dan Penasihat MPK Pelambayan, Dato Paduka Haji Abu Bakar bin Samad.

Haji Muhammad Sunadi menyampaikan sijil lantikan kepada Pengurus Kumpulan Hadrah, Awang Roslan bin Haji Muhamad.
Haji Muhammad Sunadi menyampaikan sijil lantikan kepada Pengurus Kumpulan Hadrah, Awang Roslan bin Haji Muhamad.
Haji Hanipah ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut.
Haji Hanipah ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut.

Haji Hanipah berkata, aktiviti jualan amal dan walkaton amal itu merupakan projek tahunan kampung tersebut yang turut menyelitkan pelbagai aktiviti sampingan bagi memeriahkan lagi acara amal itu.

“Antara tujuan aktiviti ini ialah bagi menambah pendapatan penduduk kampung melalui penyertaan mereka dalam aktiviti jualan di samping mengeratkan hubungan silaturahim terutama dalam konsep berjiran, selain mendedahkan para belia dengan aktiviti sihat dan berkebajikan yang membudayakan sikap kerjasama dalam kalangan mereka,” beliau menegaskan.

Penganjuran acara itu juga sebagai menyahut seruan kerajaan untuk rakyat negara ini giat berusaha meningkatkan pendapatan mereka tanpa banyak bergantung pada hasil sumber dan pemberian daripada kerajaan.

Serentak dengan perasmian itu juga diadakan upacara penyampaian sijil lantikan ahli Pasukan Hadrah Belia MPK Pelambayan yang banyak menerima tempahan dan undangan serta pernah menyertai pertandingan hadrah.

ARTIKEL YANG SAMA