Aktif ceburi sukarelawan

Aktif ceburi sukarelawan

Oleh Salawati Haji Yahya & Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Belia di negara ini disarankan supaya lebih proaktif dengan menceburkan diri dalam pergerakan sukarelawan terutama dalam program kemanusiaan.

Dalam arus globalisasi teknologi tinggi masa kini, hubungan belia dengan program kemanusiaan mempunyai ruang yang agak ketara dan dalam perkara ini, belia diseru untuk merapatkan hubungan dengan ruang tersebut dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja amal kebajikan dengan memeduli masyarakat seperti mana yang diaspirasikan oleh Baginda Sultan menerusi Wawasan 2035.

Seruan ini dibuat oleh Penerima Anugerah Pemimpin Belia Berjasa, Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, sambil menambah belia memainkan peranan penting sebagai penerus kepada kepimpinan sebuah organisasi dan menjadi pemangkin kepada pembangunan organisasi itu sendiri.

Katanya lagi, setiap tugas dan komitmen perlu dilaksanakan dengan minda terbuka tanpa mengharapkan sebarang ganjaran lain kecuali pahala dan keberkatan dari Allah.

“Cabaran kepada belia hari ini ialah untuk tampil berkarih dan rajin berusaha mengalas tanggungjawab kepimpinan sebagai peluang memajukan diri,” tambahnya lagi ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-10 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Penerima Anugerah Pemimpin Belia Berjasa, Datin Hajah Siti Hajar.
Penerima Anugerah Pemimpin Belia Berjasa, Datin Hajah Siti Hajar.

Menyentuh mengenai anugerah yang diterimanya itu, beliau melahirkan rasa syukur dan junjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan anugerah yang amat berprestij ini.

Menurutnya, ia merupakan satu penghargaan dan penghormatan yang amat tinggi nilainya bukan saja bagi dirinya malahan bagi Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam yang dianggotainya.

Selain itu, beliau menganggap anugerah ini sebagai satu amanah untuk meneruskan dan mempertingkatkan lagi penglibatan dalam kerja amal kebajikan bukan sahaja melalui badan sukarela tetapi juga melalui dua lagi badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pertiwi Brunei dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, Anugerah Sukarelawan Belia telah diberikan kepada Dayang Nurliyana Fatin binti Ariffin sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada belia yang telah memberikan sumbangan sukarelawan secara berterusan untuk masyarakat terutama golongan belia di negara ini.

Anugerah Sukarelawan Belia, Dayang Nurliyana Fatin.
Anugerah Sukarelawan Belia, Dayang Nurliyana Fatin.

Beliau bergiat aktif dalam tiga bidang iaitu Persatuan Usahawan Belia Brunei, Commonwealth-Asia Alliance of Young Entrepreneurs (CAAYE) dan Projek ASEAN Young Professional Volunteer Corp (AYPVC).

“Pada peringkat permulaan melibatkan diri dalam sukarelawan ini adalah untuk belajar dari orang lain dan dari sana saya terfikir dan melihat bagaimana cara belia-belia muda membantu belia-belia muda yang lain untuk menceburi bidang keusahawanan ini,” ujarnya semasa ditemui, yang menganggap anugerah yang diterima memberi semangat untuk terus maju dan menjadi contoh kepada belia di negara ini.

Menurutnya, setelah lima tahun melibatkan diri dalam sukarelawan belia, beliau melihat ramai belia muda melibatkan diri dalam bidang keusahawanan sebagai kerjaya jika dibandingkan 10 tahun lalu.

Melihat kepada penglibatan dan pencapaian belia dalam bidang ini, beliau merasa gembira kerana ini merupakan bidang penting untuk belia muda, walaupun mereka tidak memilih untuk menjadi keusahawanan tapi mereka belajar perkara dan kemahiran baru yang dapat membantu mereka berjaya di bidang-bidang yang lain.

Beliau seterusnya berharap supaya belia Brunei memahami peraturan sebagai belia dalam pembangunan negara ke arah mencapai kejayaan.