Aktif dan menghiburkan bersama Just Dance 2017

Aktif dan menghiburkan bersama Just Dance 2017

FRANCAIS permainan video berjudul Just Dance telah berjaya menghiburkan para pemain yang gemar melakukan aksi gerak tari mengikut rentak lagu yang diperdengarkan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2009.

Setelah tujuh tahun, pihak penerbitan Ubisoft terus setia untuk terus menghiburkan pemain dengan mengeluarkan siri terbaru dalam francais permainan video tersebut, Just Dance 2017.

Pada awalnya, francais permainan video ini dicipta khas untuk pelantar Wii yang kemudiannya turut dikeluarkan bagi versi XBOX One dengan sokongan Kinect dan Playstation 3 dengan sokongan Playstation Move.

Pihak penerbitan Ubisoft seringkali mengatur langkah strategi baru dengan menampilkan idea yang penuh inovasi pada setiap siri Just Dance yang dikeluarkan demi memberikan rasa kepuasan di hati para pemain.

Mod koperasi yang telah diperkenalkan dalam Just Dance 2016 turut kembali dalam siri terbaru ini yang membenarkan dua pemain untuk bergabung bagi menampilkan aksi gerak tari yang serentak dengan irama yang diperdengarkan bagi sama-sama mengumpulkan mata.

Para pemain setentunya teruja untuk melakukan pelbagai gerak tari mengikut rentak irama lagu yang diperdengarkan.
Para pemain setentunya teruja untuk melakukan pelbagai gerak tari mengikut rentak irama lagu yang diperdengarkan.
Gandakan rasa keseronokan apabila anda bermain Just Dance 2017 bersama rakan-rakan.
Gandakan rasa keseronokan apabila anda bermain Just Dance 2017 bersama rakan-rakan.

Justeru, mod tersebut jelas memerlukan kerjasama di antara para pemain dan bukannya bersaing bagi mengumpulkan mata yang tertinggi untuk memenangi sesetengah peringkat yang dipertandingkan.

Selain mod koperasi, bagi yang berhasrat untuk melakukan aksi gerak tari mengikut irama yang diperdengarkan secara persendirian juga boleh memilih untuk memainkan mod solo.

Sementara dalam mod multiplayer pula, para pemain boleh bersaing dengan rakan-rakan sebagai penari sandaran yang berusaha mempersembahkan aksi gerak tari yang hebat mengikut rentak irama lagu yang diperdengarkan.

Pelbagai gerak tari yang sangat menarik dapat dilakukan oleh para pemain dalam Just Dance 2017 namun seperkara yang harus diperingatkan adalah lebih baik para pemain menyediakan ruang permainan yang agak luas demi mengelakkan insiden buruk seperti kecederaan daripada terjadi memandangkan permainan video ini memerlukan pemain melakukan pelbagai aksi lenggok tari termasuk melompat.

Antara koleksi lagu-lagu terbaru dan segar yang turut dimuatkan dalam Just Dance 2017 adalah All About Us oleh Jordan Fisher, Can’t Feel My Face oleh The Weekend, Cheap Thrills oleh Sia menampilkan Sean Paul, Worth It oleh Fifth Harmony, Into You oleh Ariana Grande dan banyak lagi.

Selain itu, beberapa buah lagu yang bukan berbahasa Inggeris namun popular di peringkat antarabangsa seperti Bailar oleh Deorro menampilkan Elvis Crespo, Bang oleh Anitta, Bonbon oleh Era Istrefi, Carnaval Boom oleh Latino Sunset, Daddy oleh Psy menampilkan CL turut ditawarkan untuk dijadikan sebagai pilihan kepada para pemain untuk dijadikan sebagai lagu latar ketika melakukan aksi gerak tarian yang cukup hebat.

Manakala lagu-lagu yang memang tidak asing dengan aksi tarian seperti Dragostea Din Tei oleh O-Zone, Hips Don’t Lie oleh Shakira menampilkan Wyclef Jean, I Love Rock n Roll oleh Fast Forward Highway, PoPiPo oleh Hatsune Miku, September oleh Equinox Stars, Tico-Tico no Fubá oleh The Frankie Bostello Orchestra dan lain-lain.

Secara keseluruhan terdapat 200 buah lagu yang boleh menjadi pilihan kepada para pemain di dalam Just Dance 2017 ini.

Di samping itu, mod Sweat yang menampilkan aksi gerak tari yang berlangsung selama lima minit yang mana ia bukan sahaja ia sangat menghiburkan bahkan juga merupakan satu langkah aktif ke arah gaya hidup sihat yang anda boleh praktikkan.

Justeru bagi yang teruja untuk berhibur dengan melakukan gerak tari mengikut irama lagu yang diperdengarkan yang bukan sahaja menghiburkan malah dapat menjadi satu rutin senaman ini jangan terlepas untuk mendapatkan Just Dance 2017 yang dikeluarkan untuk pelantar PS3, PS4, Xbox ONE, Xbox 360, Wii dan Wii U.

ARTIKEL YANG SAMA