Aktivis bantah perjanjian iklim baru

Aktivis bantah perjanjian iklim baru

MANILA, 13 Dis (dpa) – Beratus-ratus aktivis alam sekitar membanjiri jalan raya di Manila, ibu negara Filipina hari ini untuk membantah perjanjian iklim baru yang ditandatangani oleh hampir 200 negara di Paris.

Kira-kira 1,000 pembantah mengecam perjanjian Persidangan Parti ke-21 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tidak memadai dan bersifat kontroversi.

“Perunding gagal mengemukakan protokol iklim yang lama tertangguh, yang mengenakan pengurangan pengeluaran ke atas negara perindustrian dan perbadanan mereka,” kata Leon Dulce, pemimpin Rangkaian Rakyat untuk Alam Sekitar.

Dulce berkata perjanjian tidak menyebut pemotongan pengeluaran mandatori ke atas negara pencemar dan “industri amat tercemar ke atas bahan fosil dan pengeluaran galian, penghasilan tenaga, pengangkutan dan perladangan agroindustri.”

Sekumpulan aktivis Filipina memegang sepanduk tatkala mengambil bahagian dalam bantahan mengenai perubahan iklim di Manila pada 13 Disember 2015. – Reuters
Sekumpulan aktivis Filipina memegang sepanduk tatkala mengambil bahagian dalam bantahan mengenai perubahan iklim di Manila pada 13 Disember 2015. – Reuters

Giovanni Tapang, pemimpin kumpulan alam sekitar lain yang bergelar AGHAM, berkata perjanjian tidak mempunyai pelan konkrit untuk memenuhi keperluan negara yang mudah terjejas oleh iklim seperti Filipina.

Aktivis menggesa gerakan popular di seluruh dunia supaya “mempertingkatkan usaha” untuk menentang projek bahan api, penggalian dan projek pembangunan lain yang agresif di seluruh dunia.

“Masa depan iklim kami akan terjejas jika kami membenarkan negara pencemar dan syarikat mengurus dunia mengikut haluan yang berasaskan perniagaan,” kata Tapang.