Aktivis Brunei, menangi Anugerah Hijau ASEAN 2015

Aktivis Brunei, menangi Anugerah Hijau ASEAN 2015

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) – Pengasas dan Presiden Persatuan Sejarah Semula Jadi dan Kepelbagaian Bio (BruWILD), Liaw Lin Ji, 27 diumumkan Juara Anugerah Hijau ASEAN 2015 dan membawa pulang AS$5,000.

Beliau menewaskan sembilan lagi usahawan muda berasaskan teknologi hijau dan penyumbang muda untuk Pembangunan Pertumbuhan Hijau di rantau ASEAN.

BruWILD mempromosi pemuliharaan keindahan alam Brunei, selain daripada membina masa depan yang mapan.

Ia mempunyai 20 ahli biologi terlatih dan ahli pemuliharaan yang bekerjasama dalam mendidik orang awam mengenai kepentingan dan fungsi ekosistem dalam kehidupan seharian mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Mah Siew Keong menyampaikan anugerah itu kepada Liaw, seorang ahli biologi yang menubuhkan BruWILD pada Ogos 2013 dan memberikan pendidikan sokongan kepada sekolah, institusi, kumpulan pencinta alam dan peminat tegar hidupan liar.

Datuk Mah Siew Keong (tiga, kanan) menyampaikan Anugerah Utama MCCC-AERT Green Award 2015 kepada Liaw Lin Ji (tiga, kiri) pada Majlis Makan Malam Gala MCCC-AAET Green Award di Kuala Lumpur malam kelmarin. – Bernama
Datuk Mah Siew Keong (tiga, kanan) menyampaikan Anugerah Utama MCCC-AERT Green Award 2015 kepada Liaw Lin Ji (tiga, kiri) pada Majlis Makan Malam Gala MCCC-AAET Green Award di Kuala Lumpur malam kelmarin. – Bernama

Sementara itu, Pengurus Earth Home Thailand, Chanamon Leknamnarong memenangi tempat kedua dengan hadiah AS$3,000 dengan mempromosi ekopelancongan di kampung halamannya di Chiangmai.

Menerusi inap desa milik keluarganya, Maejo Earth Home, Chanamon, 29 mempromosi sumber alam, bahan binaan, kehidupan lestari, pertanian organik untuk masyarakat tempatan dan pelancong.

Sementara itu tempat ketiga dengan hadiah AS$2,000 dimenangi oleh warga Malaysia Dr. Sumathi Sethupathi yang membuat penyelidikan menukarkan sisa pepejal daripada industri perikanan seperti cengkerang udang, kerang dan ketam kepada produk tambah nilai digunakan untuk menghilangkan sisa minyak dalam air kumbahan yang dihasilkan oleh industri minyak sawit.

Dr. Sumathi, 37, yang merupakan pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman kini membuat penyelidikan untuk penyelesaian pencemaran udara dan bunyi.

Anugerah itu yang dilancarkan di Dewan Perniagaan Malaysia-China dan Akademi Kejuruteraan dan Teknologi ASEAN (AAET) bertujuan mengiktiraf usahawan berasaskan teknologi yang cemerlang dan penyumbang kepada pembangunan pertumbuhan hijau di bawah usia 40 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA