Aktivis, pembangkang cetus kekecohan

DHAKA, 13 Feb – Pemimpin dan aktivis parti pembangkang terbesar Bangladesh telah membentuk rantaian manusia di seluruh negara sebagai membantah pemenjaraan ketuanya dan bekas perdana menteri Khaleda Zia kerana kesalahan rasuah.

Beratus-ratus pemimpin dan aktivis Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) berhimpun di depan Kelab Akhbar Kebangsaan di Dhaka pada pagi Isnin sebagai tanda sokongan kepada pemimpin berusia 72 tahun itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Mereka menyekat jalan raya utama di depan kelab itu sambil membawa plakad dan sepanduk dengan slogan mendesak pembebasan segera Khaleda, yang didapati bersalah atas pertuduhan rasuah dan telah dihukum penjara lima tahun pada Khamis.

Sejurus selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, Khaleda telah dibawa ke penjara di Dhaka.

Pemimpin dan penyokong Parti Nasionalis Bangladesh membantah keputusan dalam kes rasuah pemimpin utama pembangkang Bangladesh dan pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh Khaleda Zia di Dhaka pada 12 Februari 2018. Ribuan penyokong pembangkang mengadakan demonstrasi di seluruh negeri untuk melepaskan pemimpin mereka yang dipenjara dan menuntut pilihan raya yang bebas dan adil. – AFP

Mahkamah sama turut menjatuhi hukuman penjara 10 tahun ke atas lima lagi termasuk anak lelaki Khaleda, Tarique Rahman dan masing-masing juga dikenakan hukuman denda sebanyak 21 juta taka (AS$250,000).

Pemimpin BNP menyalahkan permusuhan politik bagi kes-kes terhadap Khaleda dan anak lelakinya.

“Protes yang kita lakukan secara aman ini akan berterusan sehingga pemimpin kita dibebaskan dari penjara,” kata Setiausaha Agung BNP, Mirza Fakhrul Islam Alamgir kepada peserta rantaian manusia itu.

Beliau mengulangi desakan BNP untuk mengadakan pilihan raya umum yang telah dijadualkan pada 2019 di bawah sebuah suruhanjaya pilihan raya yang bebas dan tak berpihak. – Bernama