Aktiviti akhiri pembelajaran kelas

Aktiviti akhiri pembelajaran kelas

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 27 Nov – Beberapa buah masjid di Daerah Tutong, baru-baru ini, telah mengadakan pelbagai aktiviti khusus bagi kumpulan Muslimah dan murid-murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam bersempena penutup pembelajaran kelas yang diadakan di masjid masing-masing.

Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Danau mengadakan Peraduan Khat dan Peraduan Mewarna bagi murid-murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid itu bersempena penutup pembelajaran hujung tahun.

Peraduan tersebut telah dibukakan kepada peserta berumur enam hingga sembilan tahun untuk Peraduan Mewarna dan murid berumur 10 hingga 12 tahun bagi Peraduan Khat Jawi.

Antara tujuan peraduan itu diadakan adalah untuk mencungkil bakat murid-murid daripada segi penulisan khat jawi dan mewarna, selain dapat memupuk semangat cintakan masjid yang berperanan sebagai menyebarkan ilmu kepada mereka.

Manakala itu, Kumpulan Muslimah Masjid Kampung Sinaut dengan kerjasama Muslimah Masjid Kampung Penanjong pula telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bersempena penutup pembelajaran kelas bagi kumpulan-kumpulan Muslimah tersebut di masjid masing-masing.

Sesi bergambar ramai Kumpulan Muslimah Masjid Kampung Sinaut.
Sesi bergambar ramai Kumpulan Muslimah Masjid Kampung Sinaut.
Murid-murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam yang menyertai Peraduan Mewarna dan Khat Jawi di Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong.
Murid-murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam yang menyertai Peraduan Mewarna dan Khat Jawi di Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong.

Sejak penubuhan kumpulan Muslimah masjid-masjid di Daerah Tutong pada tahun 2000 atas inisiatif Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, ia semakin berkembang dan mempunyai jumlah ahli yang semakin meningkat.

Sehingga kini, sebanyak 12 buah masjid di Daerah Tutong telah mempunyai kumpulan Muslimah yang berdaftar di Jabatan Hal Ehwal Masjid di bawah Bahagian Hal Ehwal Muslimah.

Antara kegiatan yang diungkayahkan oleh kumpulan Muslimah dengan kerjasama bimbingan guru-guru sama ada yang sudah bersara dan masih bertugas serta turut dibantu oleh imam-imam di masjid berkenaan adalah seperti Kelas Al-Quran, Kelas Fiqh, Kelas Fardu Kifayah, Kelas Dikir, Kelas Kemasyarakatan dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA