Aktiviti amal SSEAYP ‘87

Aktiviti amal SSEAYP ‘87

MENERUSI aplikasi media sosial, banyak informasi yang diperolehi termasuklah mengenai perihal kesejahteraan masyarakat.

Di antaranya ialah keadaan Dayang Nur Nazihah yang sering diserang sawan hingga mengakibatkan dia tidak boleh bergerak atau berkomunikasi seperti sebelumnya.

Bekas peserta Kapal Belia Asia Tenggara 1987 (SSEAYP 87), baru-baru ini telah pergi melawat Dayang Nur Nazihah yang tinggal di Kampung Lumapas.

Tujuan utama lawatan adalah untuk melihat keadaan Dayang Nur Nazihah di samping membawa sedikit keperluan asas daripada rakan peserta lain.

Kunjungan ini merupakan salah satu aktiviti bekas peserta SSEAYP 87 yang dilakukan dari semasa ke semasa.

pgm3_160602_c

Dengan keadaan Dayang Nur Nazihah sebegitu, maka keperluan asas untuk beliau semakin meningkat. Dia hanya boleh diberi susu berjenama yang berkhasiat yang sesuai untuk beliau.

Selain itu menurut ibunya, satu pek 10 keping ‘adult diapers’ digunakan dalam masa dua hari sahaja. Jika pembaca ingin menghulurkan bantuan, bolehlah menghubungi ibu kepada Dayang Nur Nazihah iaitu Dayang Siti Ajijah di talian 7119629 atau melawatnya di alamat 721 A, Kampung Lumapas B.

Kebajikan amal di luar negara

Selain di Negara Brunei Darussalam, aktiviti berkebajikan oleh bekas peserta SSEAYP 87 juga melangkah keluar negara. Belum lama ini penulis telah sempat mengunjungi Pusat Jagaan Titian OKU Nur Selangor, Malaysia. Pusat tersebut terletak di Rawang dan untuk sampai ke sana penulis telah menaiki KTM Komuter dari KL Sentral. Pusat Jagaan Titian OKU Nur diuruskan sepenuh masa oleh Puan Normah Adlan dengan dibantu 6 orang pekerja termasuk anak-anaknya. Pusat berkenaan juga mengalu-alukan pelajar yang bercuti untuk menjadi pembantu sukarelawan.

Bilangan penghuni seramai 40 orang yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim.

Beberapa keperluan utama juga diperlukan oleh pusat tersebut seperti susu, adult diapers, barangan dapur dan sebagainya.

Menurut Puan Normah, mereka menerima bantuan barangan secara berkala daripada mereka yang datang berkunjung.

Beliau juga merakamkan penghargaan atas sumbangan derma dan barangan daripada bekas peserta SSEAYP 87 dan teman-teman yang lain dari Brunei.

Bekas peserta SSEAYP 87 berharap dengan adanya sumbangan berupa wang dan barangan, bolehlah meringankan sedikit sebanyak bebanan mereka yang memerlukan. – Helen Thu

ARTIKEL YANG SAMA