Aktiviti ‘Bedudun’ bawa PTES ke Daerah Tutong

Aktiviti ‘Bedudun’ bawa PTES ke Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 5 Sept – Kira-kira seramai 60 orang pelajar dan empat guru pengawas dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) mengadakan lawatan sambil belajar ke Daerah Tutong, kelmarin.

Rombongan diketuai oleh Ketua Kumpulan ECO FOUR, Mata Pelajaran Travel and Tourism 2015-2016, Dayang Salyusnabillah binti Baharudin @ Haji Yunos dan Ketua Guru Pengawas, Hajah Siti Ainun Jariah binti Haji Mohd Ja’afar.

Antara tujuan lawatan sambil belajar itu adalah untuk membantu para pelajar menjalankan projek atau aktiviti sekolah yang dikenali sebagai aktiviti ‘Bedudun’ yang mana ia termasuk dalam kerja kursus bagi mata pelajaran Travel and Tourism 2015-2016 yang menyumbang 15 peratus dalam pemarkahan Peperiksaan GCE As Level bagi bulan Oktober/November ini nanti.

Pada lawatan itu, para pelajar dan guru telah dibawa melawat model rumah puak-puak atau masyarakat di Daerah Tutong iaitu Puak Tutong, Puak Kedayan, Puak Dusun, Masyarakat Iban dan Masyarakat Tiong Hua yang terdapat di Taman Rekreasi Sungai Basong, Tutong.

Di sana, para pelajar berpeluang menyaksikan dan mempelajari secara lebih dekat lagi cara hidup yang diamalkan oleh puak-puak tersebut pada zaman dahulu.

Rombongan PTES juga berkesempatan melawat di Galeri 1K1P di Jabatan Daerah Tutong.
Rombongan PTES juga berkesempatan melawat di Galeri 1K1P di Jabatan Daerah Tutong.

Mereka kemudian dibawa menelusuri Sungai Tutong yang mana para pelajar diberikan taklimat keselamatan secara ringkas terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti tersebut.

Di sepanjang menelusuri Sungai Tutong, para pelajar juga dikongsikan mengenai kisah Sejarah Lurah Saban sambil menyaksikan keindahan Mercu Tanda Sungai Tutong, Jambatan Berkembar dan menyaksikan aktiviti harian penduduk yang tinggal di tebing Sungai Tutong.

Rombongan seterusnya dibawa melawat ke Galeri Kampung yang mengetengahkan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) di Pejabat Daerah Tutong.

Semasa berada di galeri tersebut, para pelajar berkesempatan menyaksikan pameran dan jualan produk-produk kampung termasuk produk 1K1P yang dihasilkan oleh ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Tutong.