Aktiviti di perairan negara perlu dimaklumkan kepada polis

Aktiviti di perairan negara perlu dimaklumkan kepada polis

KOTA KINABALU, 4 Mei (Bernama) – Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan semua ejen pelancongan di negeri ini agar memaklumkan kepada polis sebelum keluar melakukan aktiviti di perairan negara.

Beliau berkata ini penting untuk memastikan pasukan keselamatan dapat memantau di kawasan perairan berkenaan, sekali gus dapat melaksanakan operasi secepat mungkin jika berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Saya selalu berpesan kepada agen-agen pelancongan atau pelancong luar agar maklumkan kepada balai polis terdekat sebelum melakukan apa juga aktiviti di perairan negera,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN), di sini hari ini.

Tan Sri Khalid Abu Bakar (tiga, kanan) dan para anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menerima Pingat Kedaulatan Negara di Ibu Pejabat PGA Kinarut Kelmarin. - Bernama
Tan Sri Khalid Abu Bakar (tiga, kanan) dan para anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menerima Pingat Kedaulatan Negara di Ibu Pejabat PGA Kinarut Kelmarin. – Bernama

Beliau mengulas kejadian empat orang – dua warga Sepanyol, seorang rakyat China dan seorang warga tempatan – dilaporkan hilang ketika menaiki bot dari Pulau Balambangan di Bangi ke Tanjung Simpang Mengayau dekat sini, pada Isnin.

Pada masa sama, Khalid meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian itu.

“Kita masih menyiasat dan belum mendapat pengesahan sebenar tentang punca kehilangan mereka. Namun kita mendapat laporan bahawa waktu itu keadaaan laut tidak begitu baik…dengan ombak besar dan angin kuat,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA