Aktiviti haram di perairan Lawas, Labuan menurun

Aktiviti haram di perairan Lawas, Labuan menurun

LABUAN, 15 Feb – Sepanjang tahun lepas, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan melakukan sekurang-kurangnya 40 tangkapan bagi pelbagai kesalahan maritim dan merampas barangan bernilai RM679,560 serta mengenakan denda berjumlah RM76,900.

Ketua Maritim Labuan Kapt Che Adnan Md Isa berkata semua kesalahan itu dilakukan di perairan Lawas, Sarawak dan Labuan.

“Kami bukan melihat kepada jumlahnya, tetapi kewujudan aktiviti haram di perairan Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menyaksikan Perhimpunan dan Perbarisan Khas bersempena sambutan ulang tahun ke-11 APMM di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui 854 operasi yang diadakan tahun lepas, APMM mengesan 19 kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, 10 mengikut Ordinan Kapal Dagang 1952, Akta Dadah Berbahaya (lima), Akta Kastam (dua), Akta Imigresen (dua) dan satu mengkut Akta Kawalan Bekalan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Melalui operasi secara agresif dan berterusan, pada keseluruhannya, kami berjaya meminimumkan aktiviti haram di perairan kita tahun lepas,” katanya. –Bernama