Aktiviti kemasyarakatan bersama warga emas

Aktiviti kemasyarakatan bersama warga emas

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Empat pelajar Perubatan Tahun 3 dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah ISKPAPRSB kini mengadakan Projek Kemasyarakatan bagi Golongan Warga Emas bermula 29 September sehingga 3 Oktober 2015 di Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Berakas.

Justeru Media Permata sempat meninjau projek berkenaan di PKWE di RPN Kampung Lambak Kanan menyaksikan warga emas didedahkan kepada beberapa aktiviti yang disusun merangkumi aspek-aspek kesihatan bagi warga emas.

Kumpulan pelajar tersebut terdiri daripada Dayangku Nurul Hazimah binti Pengiran Mohin, Wee Nai Ping, Yong Kit Siang dan Sharleen Siu Sheau Yee jelas aktif dan mesra bersama warga emas yang terlibat di sana dengan kerjasama 16 lagi sukarelawan yang terdiri daripada rakan-rakan seperjuangan dalam jurusan yang sama.

“Ini merupakan sebahagian daripada modul pengajian kami dan ini adalah kali pertama kami sekumpulan mengadakan projek seperti ini, pada saya ia memberikan kami banyak input dan informasi yang berguna dan ia adalah salah satu langkah bagi kami mendedahkan diri kepada masyarakat sebagai persediaan masa hadapan ketika berhadapan dengan pesakit dalam kerjaya masing-masing,” ujar Dayangku Nurul Hazimah.

Dayangku Nurul Hazimah (paling kanan) bersama ahli sekumpulannya bersama salah seorang warga emas di majlis itu.
Dayangku Nurul Hazimah (paling kanan) bersama ahli sekumpulannya bersama salah seorang warga emas di majlis itu.
Suasana riang para warga emas ketika bermain Sudoku sambil dibantu oleh para sukarelawan.
Suasana riang para warga emas ketika bermain Sudoku sambil dibantu oleh para sukarelawan.
Sesi bergambar ramai pada hari pertama projek tersebut.
Sesi bergambar ramai pada hari pertama projek tersebut.

Pada hari pertama beberapa aktiviti telah disusun antaranya Zumba, Yoga, Taklimat Pemakanan Sihat dan permainan dan akan disambung pada hari kedua dengan sesi perbincangan, penjagaan kaki dan aktiviti poco-poco sebelum disambung dengan senaman kekuatan fizikal dan permainan minda.

Pada hari ketiga nanti satu mesyuarat bersama keluarga akan diadakan sebelum diakhiri dengan acara penutup pada hari Sabtu ini nanti yang akan diisikan dengan acara poco-poco, kembara foto dan majlis penutup.

Projek 4 pelajar ISKPAPRSB ini bertemakan “Active Ageing and Familly Support: We Rise By Lifting Others.”

ARTIKEL YANG SAMA