Aktiviti kemasyarakatan sempena Hari Kebangsaan

Aktiviti kemasyarakatan sempena Hari Kebangsaan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Majlis Perundingan Kampung Kawasan 1 dan 2 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Rimba Mukim Gadong ’A’ akan mengadakan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 Tahun dengan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan bagi mengindahkan kampung masing-masing dan riadah bagi para penduduk.

Tujuan aktiviti sedemikian adalah bagi dijadikan teladan kepada para remaja yang akan menjadi tunggak negara pada masa depan tanpa banyak berharap kepada kerajaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Rimba, Haji Mohamad bin Haji Kabon pada Upacara Menaikkan Bendera Kebangsaan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 Tahun bagi Mukim Gadong ‘A’ dan ‘B’ Zon 3 Daerah Brunei Dan Muara, yang berlangsung di Kawasan Gerai Aneka Ria RPN Rimba, hari ini.

Upacara itu dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Penghulu Mukim Gadong ‘A’, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin.

Haji Mohamad selaku Pengerusi Bersama Upacara itu berkata, usaha untuk mendapat penyertaan menyeluruh para remaja adalah melalui kerjasama dengan pihak sekolah menengah di kawasan tersebut untuk membabitkan para pelajar mereka.

Tetamu kehormat (tengah) bergambar ramai bersama mereka yang hadir.
Tetamu kehormat (tengah) bergambar ramai bersama mereka yang hadir.
Bendera kebangsaan dinaikkan serentak berkumandangnya lagu kebangsaan.
Bendera kebangsaan dinaikkan serentak berkumandangnya lagu kebangsaan.

“Cara begitu akan memastikan penglibatan para pelajar sekolah tanpa perlu membelanjakan kos yang besar,” katanya sambil menambah, kerjasama dengan pihak sekolah di kawasan tersebut sering mereka adakan seperti menggunakan dewan sekolah bagi kegiatan kemasyarakatan, memandangkan kawasan itu masih belum mempunyai dewan serba guna mereka sendiri.

Menurut beliau lagi, selain pihak sekolah, antara agensi yang akan diundang untuk turut serta ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pasar Raya Giant.

Pada temu bual itu, beliau juga mengingatkan para penduduk kawasan berkenaan supaya sentiasa menghormati bendera kebangsaan dengan memastikan bendera yang dikibarkan berkeadaan baik serta tidak pudar atau koyak.

“Ahli majlis perundingan kampung ini akan membuat pemantauan terhadap rumah-rumah yang mengibarkan bendera dan membuat teguran mengenai cara pengibaran bendera kebangsaan yang betul,” ujarnya.

Upacara menaikkan bendera kebangsaan bermula dengan perarakan masuk beberapa pembawa bendera yang mengiringi pembawa bendera kebangsaan untuk diserahkan kepada tetamu kehormat sebelum menyerahkannya pula untuk dikibarkan di perkarangan Gerai Aneka Ria itu.

Bendera kebangsaan dinaikkan sejurus lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dimainkan.