Aktiviti menarik di Karnival Mini Yayasan

Aktiviti menarik di Karnival Mini Yayasan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Bagi memeriahkan lagi acara ‘Membeli-belah dan Menang’ yang sedang berlangsung sejak 7 Disember 2015 sehingga 8 Februari sempena ‘Brunei Salebration 2015’, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mengadakan Karnival Mini bermula hari ini hingga 3 Januari.

Antara aktiviti menarik sepanjang karnival termasuk bouncer, melukis muka, inai, snookball, pertunjukan kucing (Cat Show) dan gerai jualan yang menampilkan Al-Muharrir, Costra, Syarikat Hajah Tiawa, Haji Yusof dan Anak-anak, Alyq, Potatotwistic, Finkzlha, Aquaslush serta banyak lagi.

Pertunjukan kucing yang diadakan di Tingkat 1, Kompleks Yayasan mempamerkan pelbagai jenis kucing seperti Maine coon, Persian, Domestic Long Hair (DLH), Domestic Short Hair, Bengal dan bermacam-macam lagi.

Pengurus pertunjukan itu, Pengiran Alya binti Pengiran Haji Hassan semasa ditemui menyatakan, “Tujuan Pets Show ini diadakan adalah bagi menghiburkan pengunjung-pengunjung yang datang terutamanya kanak-kanak sebelum mereka kembali ke musim persekolahan.”

Orang ramai semasa mengunjungi Karnival Mini yang diadakan di kawasan tengah Kompleks Yayasan sehingga Ahad ini.
Orang ramai semasa mengunjungi Karnival Mini yang diadakan di kawasan tengah Kompleks Yayasan sehingga Ahad ini.
Antara yang menyertai karnival tersebut.
Antara yang menyertai karnival tersebut.

Antara yang terbabit dalam pertunjukan kucing ini ialah kalangan ahli-ahli Brunei Paw’s Lover, iaitu sebuah komuniti pencinta haiwan peliharaan.

Sementara itu, salah seorang peserta jualan yang ditemui, Hamdy Emran, iaitu pemilik Al-Muharrir, yang menjual barang jualan memfokuskan kepada penulisan tangan berkata, mereka bukan sahaja menjual hasil seni penulisan tangan bahkan juga menyediakan penempahan bagi hadiah untuk perkahwinan, hari jadi, pencen dan apa sahaja yang berkaitan.

Untuk mengetahui lebih lanjut, bolehlah mengunjungi karnival berkenaan yang dibuka pada jam 2 petang hingga 9 malam pada hari ini dan akan disambung esok dan lusa dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

ARTIKEL YANG SAMA