Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu dibatal

Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu dibatal

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) – Taman-Taman Sabah membatalkan semua aktiviti mendaki Gunung Kinabalu hari ini berikutan gempa bumi dan gegaran yang dialami, atas sebab keselamatan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun mengesahkan arahan itu dalam akaun Twitternya.

“Batu-batu dan bongkah banyak yang jatuh akibat gegaran itu,” katanya.

Pondok-pondok pendaki di Panar Laban dan Gunting Lagadan rosak teruk tetapi tiada laporan mengenai kecederaan.

“Yang menyedihkan ikon Telinga Keldai di gunung itu turut rosak teruk, menunggu pengesahan,” katanya dalam Tweet itu.

Masidi berkata para penyelamat dalam perjalanan ke Gunung Kinabalu kerana terdapat laporan mengatakan ada pendaki yang terkandas dan cedera berhampiran gunung itu.