Aktiviti riadah di Taman Jubli hindari serangan jantung

Aktiviti riadah di Taman Jubli hindari serangan jantung

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Pasukan Rehabilitasi Jantung dengan sokongan Pusat Rawatan Jantung dan perkhidmatan Ambulans Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini, telah menganjurkan aktiviti riadah di Taman Jubli Perak Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, aktiviti ini bertujuan untuk mendedahkan taman-taman dan kawasan rekreasi setempat kepada orang ramai yang mengalami penyakit jantung, keluarga dan rakan-rakan mereka sebagai tempat paling selamat untuk melakukan senaman.

Pasukan Rehabilitasi Jantung telah menjemput lebih 120 orang pesakit dari 16 kumpulan pesakit jantung yang berisiko rendah dan tujuh kumpulan pesakit jantung berisiko tinggi bersama keluarga mereka untuk menyertai aktiviti berkenaan.

Pendekatan ini akan terus meningkatkan lagi keyakinan mereka dan menguatkan mereka dan keluarga untuk menjaga kesihatan jantung bagi menghindarkan serangan jantung.

Berdasarkan Risalah Maklumat Kesihatan Brunei 2013, lima punca utama kematian di Negara Brunei Darussalam ialah barah, jantung, diabetes mellitus, serebrovaskular dan penyakit hipertensi. Semua punca ini boleh dicegah dan merupakan penyakit tidak berjangkit.

Berkesempatan bergambar ramai semasa menyertai aktiviti riadah di Taman Jubli Perak Haji Hassanal Bolkiah.
Berkesempatan bergambar ramai semasa menyertai aktiviti riadah di Taman Jubli Perak Haji Hassanal Bolkiah.

Setakat ini, penyakit jantung merupakan penyakit yang paling mahal untuk dirawat, yang mana ia mengambil jumlah besar daripada belanjawan kesihatan tahunan untuk merawat pesakit jantung.

Kebanyakan individu yang selamat daripada serangan jantung mampu untuk hidup dengan kualiti kehidupan yang baik selepas menjalani penjagaan kecemasan, pembedahan intervensi (yang mencecah $20,000 hingga $100,000 seorang), perubatan (dengan kos jangka masa panjang daripada $500 hingga $1,000 sebulan) dan rehabilitasi jantung.

Kenyataan menjelaskan, rehabilitasi jantung merupakan program yang membantu meningkatkan kecergasan fizikal seseorang, menghindarkan serangan jantung kedua dan memperbaiki kualiti kehidupan kedua dalam cara yang paling kos efektif.

Senaman kerap telah terbukti mampu mengurangkan 50 peratus risiko keseluruhan kardiovaskular, dalam kata lain, senaman juga merupakan sejenis perubatan yang tidak dapat dibawa atau boleh diambil secara oral.

Ia memerlukan komitmen dan keazaman seseorang untuk memastikan perubatan berada dalam badan. Hanya seorang mengamalkan aktiviti fizikal atau senaman dan makan makanan sihat, akan mendapat manfaat itu dan boleh menghindarkan serangan jantung.

Bagi maklumat selanjutnya dan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Program Rehabilitasi Jantung, bolehlah menghubungi Pasukan Rehabilitasi Jantung di Hospital RIPAS di talian 2242424 sambungan 5730 (Nurafilah) atau 5818 (Hajah Rogayah).

ARTIKEL YANG SAMA