Aktiviti riadah erat kerjasama

Aktiviti riadah erat kerjasama

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 27 Nov – Majlis Perundingan Mukim Lamunin dan Pengawasan Kejiranan Mukim Lamunin bersama Daerah Polis Tutong pagi tadi mengadakan aktiviti riadah di Pusat Kemasyarakatan Mukim Lamunin, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam dan dihadiri sama Pengerusi Bersama acara itu, Penghulu Mukim Lamunin, Haji Tujoh bin Talip.

Aktiviti dimulakan dengan sesi pergerakan zumba dan diikuti dengan acara berjalan santai sejauh 1.2km bermula dan berakhir di kawasan Pusat Kemasyarakatan Mukim Lamunin.

Pada acara itu, kutipan tabung amal dan cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan lagi aktiviti riadah mereka yang terlibat.

Pengerusi bersama, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Superintendent Haji Chipli bin Haji Mohammad menyatakan, tujuan aktiviti riadah berkenaan adalah untuk berkumpul bersama komuniti mukim dan mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara ahli Pengawasan Mukim Lamunin bersama Daerah Polis Tutong.

Sesi senaman zumba dimulakan sebelum diteruskan dengan berjalan santai sejauh 1.2km.
Sesi senaman zumba dimulakan sebelum diteruskan dengan berjalan santai sejauh 1.2km.
Haji Adnan berkesempatan menderma ke tabung amal bagi MPM Lamunin, pagi kelmarin.
Haji Adnan berkesempatan menderma ke tabung amal bagi MPM Lamunin, pagi kelmarin.

Superintendent Haji Chipli juga menjelaskan bahawa Daerah Polis Tutong pernah mengadakan jerayawara di Kampung Bukit pada minggu lepas yang mana aktiviti itu menjurus kepada taklimat mengenai peranan Pasukan Polis Diraja Brunei dan agensi-agensi berkuasa dalam mencegah dan membanteras kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Namun, kali ini, Daerah Polis Tutong memfokuskan acara yang berkaitan dengan kemasyarakatan iaitu memberi peluang orang ramai terutama penduduk yang tinggal di Mukim Lamunin ini untuk bersuai kenal dengan anggota-anggota Daerah Polis Tutong dan dapat bekerjasama dalam membanteras jenayah demi kesejahteraan dan keharmonian penduduk Kampung Lamunin, jelasnya lagi.

Beliau berharap aktiviti riadah yang melibatkan Daerah Polis Tutong ini akan dapat diteruskan dan diadakan di mukim-mukim Daerah Tutong bagi meningkatkan lagi kerjasama bersama penduduk kampung dan mukim khususnya di Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA