Aktiviti sihat sebagai amalan

Aktiviti sihat sebagai amalan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Lebih daripada 150 orang hari ini menyertai Walkaton Hari Kebangsaan ke-6 bagi tahun 2016 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Bunut, bermula di Taman Persiaran Damuan hingga ke perkarangan Masjid Kampung Bunut.

Acara walkaton sejauh lima kilometer yang disertai oleh ahli jawatankuasa takmir masjid, jemaah para masjid dan penduduk yang tinggal di sekitar masjid berkenaan diketuai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, selaku tetamu kehormat.

Setiausaha Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Bunut, Haji Abu Bakar bin Haji Zainal ketika ditemu bual mengenai acara itu menjelaskan, Walkaton Hari Kebangsaan 2016 itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bunut Perpindahan, MPK Kampung Madewa dan MPK Kampung Tasek Meradun.

Menurutnya lagi, aktiviti itu merupakan projek tahunan Masjid Kampung Bunut yang bertujuan untuk menyemarakkan dan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di samping menggalakkan para jemaah beriadah dan bersilaturahim.

Tetamu kehormat (kedua dari kanan) melakukan senaman memanaskan badan.
Tetamu kehormat (kedua dari kanan) melakukan senaman memanaskan badan.
Tetamu kehormat dan para peserta lelaki serta wanita beriadah dalam Walkaton Hari Kebangsaan 2016.
Tetamu kehormat dan para peserta lelaki serta wanita beriadah dalam Walkaton Hari Kebangsaan 2016.

Acara dimulakan dengan senaman memanaskan badan dan senamrobik selama 10 minit sebelum tetamu kehormat mengetuai kumpulan peserta menyusuri Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (Jalan RIPAS) sambil diiringi oleh anggota-anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas di jalan yang sibuk itu.

Sebaik saja melepasi lampu isyarat Jalan RIPAS-Jalan Telanai, kumpulan peserta kanak-kanak dan belia yang lebih bertenaga yang tadinya mengekori kumpulan tetamu kehormat, telah pun memecut di depan sambil dikawal rapi oleh anggota polis trafik.

Keseluruhan kumpulan Walkaton Hari Kebangsaan 2016 tiba di perkarangan Masjid Kampung Bunut kira-kira sejam kemudian dan setelah melepas penat dan dahaga, upacara menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat telah diadakan yang diakhiri dengan jamuan makan beramai-ramai.

ARTIKEL YANG SAMA