‘Aku Bersama Ramadan’

‘Aku Bersama Ramadan’

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 8 Julai – Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan dan mempersiapkan diri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, Persatuan Belia Belait (PEMBELA) telah mengadakan program “Aku Bersama Ramadan” dengan mengagih-agihkan makanan ke Masjid Zainab, Lumut dan Masjid Sungai Liang, bagi berbuka puasa, hari ini.

Terdahulu, seramai 25 orang ahli persatuan berkenaan bergotong-royong memasak beberapa menu makanan seperti bubur kacang, jagung, nasi goreng daging lembu dan popia berperisa ketam, di kediaman salah seorang ahli jawatankuasa di RPN Kampung Lumut, dengan diselia oleh Presiden PEMBELA, Dayang Atikah Rumaizah binti Dr Haji Harun.

Dalam temu bual bersama Media Permata, salah seorang ahli PEMBELA, Awang Abdul Rauf bin Abdul Rahim memberitahu bahawa projek yang diadakan buat kali kedua ini bertujuan untuk menyediakan juadah berbuka puasa di masjid-masjid.

“Ketika di bulan (puasa) ini, kita sering melihat warga asing menunaikan solat dan berbuka puasa di masjid.

“Mudah-mudahan dengan makanan buatan sendiri ini dan acara berbuka puasa dengan seluruh masyarakat, mereka akan merasa seperti berada di rumah bersama keluarga mereka,” kata Abdul Rauf yang memulakan projek itu pada tahun lepas.

Salah sebuah keluarga yang tinggal di pedalaman kawasan Belait menerima barang-barang keperluan khas daripada PEMBELA.
Salah sebuah keluarga yang tinggal di pedalaman kawasan Belait menerima barang-barang keperluan khas daripada PEMBELA.

Belia-belia yang terlibat mula memasak seawal 12 tengah hari dan apabila selesai pembungkusan sebanyak 100 bekas makanan tersebut serta 100 bekas bubur kacang pada jam 4:30 petang, mereka terus membawanya ke dua buah masjid berkenaan.

Dayng Atikah menyatakan perasaan gembira dengan penglibatan para belia dalam aktiviti amal tersebut.

“Kami mahu mereka (ahli-ahli) mempunyai semangat dalam memberi dan menjaga orang lain semasa di bulan puasa, dan mengisi masa mereka dengan aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Dalam masa yang sama, PEMBELA juga menderma barang-barang infak seperti tilam, makanan asasi, pakaian dan kain serta membaiki sebuah penjana kuasa elektrik kepada sebuah keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman Belait.

ARTIKEL YANG SAMA