Akuarium, sauna, bar ditemui di penjara Mexico

Akuarium, sauna, bar ditemui di penjara Mexico

MONTERREY, 15 Feb – Pihak berkuasa menemui sel mewah dengan akuarium, sauna mudah alih dan bar di sebuah penjara di Mexico di mana 49 banduan terbunuh dalam satu pergaduhan, kata pegawai Ahad lalu.

Warden dan Penguasa Penjara Topo Chico di bandar perindustrian utara Monterrey, Negeri Nuevo Leon, turut ditangkap dan dituduh mengedar dadah serta gagal untuk melaksanakan langkah keselamatan.

Seorang lagi pengawal berdepan tuduhan selepas menembak mati seorang banduan ketika insiden pada Khamis itu.

Pemimpin kartel dadah Zetas, Ivan Hernandez Cantu, atau El Credo, mempunyai katil besar, televisyen skrin rata yang besar dan tempat mandi mewah di dalam sel, kata pejabat pendakwa raya negeri itu. Ketua pendakwa Roberto Flores berkata, ketika serangan berlaku, seorang wanita ada bersama dengannya.

Pihak berkuasa berkata, rusuhan berpunca daripada pertikaian ke atas kawalan penjara antara Hernandez dan seorang pemimpin Zetas lain, Juan Pedro Saldivar Farias, atau Z-27.

Seseorang pegawai penjara kelihatan keluar dari menara, di dalam penjara Topo Chico di Monterrey, Mexico. - Reuters
Seseorang pegawai penjara kelihatan keluar dari menara, di dalam penjara Topo Chico di Monterrey, Mexico. – Reuters

Kebanyakan mangsa mati, akibat ditikam atau dipukul dengan kayu oleh banduan lain semasa pertempuran itu.

Kerajaan negeri berkata Ahad lalu, polis mengambil alih penjara dan menamatkan kuasa oleh pemimpin penjenayah terancang yang turut dibantu beberapa pihak berkuasa.

Penjara itu menampung 3,800 banduan ketika rusuhan, 35 peratus melebihi kapasiti dan turut menahan ahli kartel dadah selain banduan jenayah lain yang menunggu perbicaraan. Susulan keganasan itu pihak berkuasa menghantar 233 banduan termasuk dua ketua Zetas ke penjara lain.

Sehari selepas rusuhan, pegawai menemui sejumlah pisau buatan sendiri, tukul dan dadah di dalam penjara. – AFP