Akuarium silinder tertinggi dunia di Moscow dibuka

Akuarium silinder tertinggi dunia di Moscow dibuka

MOSCOW, 12 Jan – Akuarium silinder tertinggi di dunia, yang memiliki lif dan terowong lintasan pertama kali dibuka di Oceania Mall di Moscow, Rusia.

Akuarium akrilik setinggi 24 meter ini yang direka dan dibina oleh International Concept Management (ICM) kini merupakan titik tumpuan bagi pusat membeli-belah terbaharu di ibu negara Rusia.

ICM mereka akuarium itu untuk menawarkan pengalaman yang menarik dan dijadikan sebagai hiasan ruang tengah bagi pembeli-belah di pusat beli-belah tersebut.

Demi mencapainya, ICM mereka dan membina akuarium yang mampu menjadi tarikan dari segi seni bina, yang langsung membuatkan tetamu berasa seakan-akan berada di persekitaran dalam air.

Hasilnya ialah akuarium 24 meter tinggi dan 10 meter lebar, yang mengandungi 900,000 liter air masin.

ICM mempunyai pengalaman yang luas dalam kejuruteraan rumit dan reka bentuk canggih, tetapi Akuarium Oceania Mall telah mencabar pasukan ini dan melanggar sempadan kreativiti.

Pasukan reka bentuk ICM menambah lubang port tinjauan tambahan pada bahagian bawah akuarium dan terowong lintasan apabila pelawat keluar daripada lif panorama di tingkat atas pusat beli-belah.

ICM bukan sahaja mereka, membina dan mentauliahkan akuarium pemecah rekod ini, malah mereka juga menguruskan pemasangan di dalam seluruh bahagiannya.

Sejumlah lima puluh enam kepingan akrilik dihantar ke Moscow dan diikat bersama di dalam bilik teknikal yang dibina khas. Ia merupakan proses yang sensitif terhadap suhu yang dilaksanakan dengan jayanya walaupun ia dijalankan pada musim sejuk di Moscow.

Kepingan akrilik itu sangat berat selepas diikat bersama, kren terbesar di Rusia diperlukan untuk mengangkat kepingan itu daripada bilik teknikal ke lokasi terakhirnya di dalam pusat beli-belah. Keseluruhan prosesnya daripada rekaan sehingga selesai mengambil masa selama lima belas bulan.

“Banyak aspek dalam projek ini agak teknikal dan mencabar, tetapi kami mempunyai pengalaman yang luas untuk menanganinya,” kata Andrius Vengalis, Pengurus Projek di tapak ICM. “Pasukan kami melaksanakan projek ini dengan sempurna dan kami amat berpuas hati dengan hasil Akuarium Oceania Mall.”

Terdapat lebih 3,200 terumbu karang buatan diletakkan di dalam akuarium untuk mencipta persekitaran realistik bagi beribu haiwan akuatik yang tinggal di dalamnya. Lif tersebut yang merupakan lif hidraulik tertinggi di dunia, membawa tetamu bersemuka dengan 50 spesis jerung, pari dan ikan yang berbeza. Ia dibuka untuk orang ramai semasa waktu operasi biasa pusat membeli-belah. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA