Akui curi barang kemas, bahayakan nyawa

5 tahunBANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos 2012 – Wanita yang melarikan barang kemas bernilai $18,150 dari sebuah kedai emas di Serusop mengaku bersalah terhadap tuduhan mencuri barang kemas dan memandu dengan cara terburu-buru yang membahayakan nyawa orang lain demi melepaskan diri daripada ditangkap polis.

Timbalan pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa pada 25 Julai 2012, defendan telah pergi ke kedai emas tersebut di Kompleks Delima satu dan telah bercakap dengan seorang pekedai di sana dengan berpura-pura hendak membeli barang kemas.

Pekedai itu telah membungkus empat rantai emas dan dua gelang emas untuk defendan dan telah menulis resit untuk barang kemas itu. Pada ketika itulah defendan mencapai kaunter dan menyambar enam kotak barang kemas itu, kemudian terus lari ke keretanya.

Dompet defendan tercicir ketika dia melarikan diri. Seorang lagi pekedai berlari ke arah kereta defenda tetapi tidak dapat membuka pintu kereta kerana defendan sempat menguncinya.

Pekedai itu telah berjaya mencatat nombor pendaftaran kereta defendan sebelum defendan memandu pergi.

Defendan kemudian pergi ke salah sebuah cawangan kedai emas itu di Batu Bersurat dan telah menjual salah satu barang curi itu dengan nilai $600.

Pihak polis telah mengumpul maklumat dari dompet defendan yang tercicir, gambar ka-mera litar tertutup dan ketera-ngan pekedai tentang nombor pendaftaran kereta defendan. Polis kemudian mendapati kereta defendan adalah kereta yang disewakan kepada defendan sejak 22 Julai 2012 dan dijangkan dikembalikan pada 26 Julai 2012 di Jalan Pemancha.

Polis kemudian pergi ke syarikat sewa itu dengan kereta serta berpakaian biasa dan mendapati defendan berada di dalam kereta yang disyaki.

Dua orang anggota polis berdiri berdekatan kereta defendan dan kemudian memperkenalkan diri mereka dan meminta defendan turun dari kereta berkenaan. Setelah menyedari polis hendak memberkasnya, defendan dengan terburu-buru memanu pergi dan hampir melanggar kedua-dua anggota polis itu.

Polis kemudian mengejar defendan yang memandu dengan cara bahaya. Dalam drama kejar-mengejar itu, defendan telah melanggar sebuah kereta di sepanjang Jalan Kianggeh. Kemudian defendan cuba membuat pusingan untuk bersembunyi di sebuah rumah pangsa di Jalan Kumbang Pasang, tetapi polis berjaya mengekori dan akhirnya berjaya menangkap defendan.

Defendan berkata dia perlukan wang untuk perbelanjaan harian dan mengambil jalan keluar dengan mencuri.