Al Ansar Health tembusi pasaran Singapura & Asia Timur

Al Ansar Health tembusi pasaran Singapura & Asia Timur

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) – Penyedia perkhidmatan dan produk penjagaan kesihatan, Al Ansar Health Sdn Bhd, menjangka produknya akan menembusi pasaran Singapura, China, Korea Selatan dan Jepun dalam tempoh terdekat ini.

Pengerusi Eksekutif Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata syarikat akan menggunakan Hab Halal Global (GHH), platform pasaran dalam talian yang berpangkalan di Singapura untuk memasarkan produk.

“Kami sedang berunding dengan GHH untuk mengeksport produk berasaskan susu kambing kami di Singapura pada suku ketiga dan ke China pada awal tahun depan.

“Tumpuan akan lebih kepada China berikutan negara itu mempunyai penduduk Islam yang ramai,” katanya kepada Bernama.

Al Ansar Health, ditubuhkan pada 2013, kini mempunyai 15 cawangan di Semenanjung Malaysia.

Produk kesihatan alternatif dan penjagaan kesihatan serta perkhidmatan itu termasuk refleksologi, terapi urut, rawatan resdung dan makanan tambahan.

Ditanya mengenai prestasi kewangan syarikat, Muhamad Khanafi berkata keuntungan tahun lepas meningkat dengan baik walaupun jualan berkurangan 30 peratus kepada RM2.64 juta berbanding RM3.5 juta pada 2014.

“Kami berjaya menghasilkan keuntungan yang lebih tinggi dengan mengurangkan kos overhead kami yang meningkatkan keuntungan,” katanya.

Syarikat menjangka jualan produk berasaskan susu kambingnya mencecah RM400,000 pada tahun ini, menyumbang 15 peratus daripada jumlah sasaran jualan Al Ansar Health sebanyak RM2.4 juta.

Pada suku ketiga, Al Ansar Health akan melancarkan produk tambahan, “Al Ansar QAMA’S”, yang kini di bawah fasa testimoni.