Al-Baari juara pertandingan Rawi

Al-Baari juara pertandingan Rawi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Kumpulan Al-Baari dari Masjid Kampung Beribi telah menjuarai Pertandingan Membaca Rawi/Berzanji Berkumpulan (Lelaki) Peringkat Akhir Kebangsaan yang telah diadakan pagi tadi sempena Sambutan Maulidur Rasul S.A.W tahun 1437H tahun ini.

Manakala itu, tempat kedua disandang oleh Kumpulan Bahasa dari RPN Kampung Pandan, Kuala Belait dan tempat ketiga ialah Kumpulan Aura Iman dari Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong.

Juara pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai $600, sementara itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai $500 dan $400 berserta sijil penyertaan.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah pada majlis yang berlangsung di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kampung Rimba ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Pertandingan anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara serta ahli Jawatankuasa Takmir Masjid RIPAS ini menyaksikan 10 buah kumpulan bertanding di peringkat akhir yang mewakili setiap daerah dan zon.

Awang Roslan (dua, kiri) bersama pemenang tempat pertama, Kumpulan Al-Baari dari Masjid Kampung Beribi.
Awang Roslan (dua, kiri) bersama pemenang tempat pertama, Kumpulan Al-Baari dari Masjid Kampung Beribi.
Kumpulan Bahasa dari RPN Kampung Pandan, Kuala Belait menerima hadiah di tempat kedua.
Kumpulan Bahasa dari RPN Kampung Pandan, Kuala Belait menerima hadiah di tempat kedua.

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Haji Jamil bin Haji Abdul Ghani dalam ucapannya selaku pengerusi bersama majlis menyatakan bahawa pertandingan ini bertujuan untuk memupuk minat umat Islam di negara ini untuk mempelajari serta mengetahui Sirah Rasulullah S.A.W yang tersirat dalam penyampaian secara berzanji.

Di samping itu, ia juga untuk memelihara pembacaan rawi/berzanji sebagai khazanah yang perlu dipertahankan agar tidak pupus ditelan zaman.

Selain itu, jelasnya lagi, untuk menjadikan masjid sebagai pusat ilmu pengetahuan dan kemasyarakatan sambil mengeratkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan pegawai-pegawai masjid dengan ahli jawatankuasa takmir masjid.

“Dalam usaha memperkembangkan bacaan Rawi ini, Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, insya-Allah akan mengadakan bengkel yang berkaitan di masa akan datang secara berperingkat-peringkat yang meliputi warga masyarakat seperti pegawai hal ehwal masjid, ahli jawatankuasa takmir masjid, para jemaah serta Muslimah dan belia-belia masjid.”

Pertandingan Membaca Rawi/Berzanji Berkumpulan bagi Kumpulan Wanita Peringkat Akhir Kebangsaan pula akan diadakan pada 27 Februari ini di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.

Pihak penganjur melahirkan harapan agar pertandingan ini akan dapat memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu bacaan Rawi dari segi fasahah, lagu dan keseimbangan suara peserta yang akan dapat melahirkan individu mahupun berkumpulan dan sebagai usaha untuk menggalakkan lebih ramai lagi umat Islam di negara ini untuk mempelajari dan menguasai bacaan di samping menyampaikan hajat masyarakat awam khususnya bagi menyerikan acara atau majlis keagamaan yang seumpamanya.

ARTIKEL YANG SAMA