Al Horford kembali julang Celtics

BOSTON, 13 Nov – Al Horford menjaringkan 21 mata tertinggi pasukan itu dalam aksi kembalinya ketika Boston Celtic, yang beraksi tanpa Kyrie Irving tetapi masih mampu untuk bertahan bagi kemenangan ke-12 mereka semalam.

Pasukan Celtic memerlukan kerja keras pasukan mereka, seperti yang mereka lakukan dalam kemenangan berturut-turut mereka, untuk menewaskan Toronto Raptors 95-94 di depan 18,600 penonton di Boston Garden.

Horford terlepas dua perlawanan kerana konkusi dan aksi kembalinya adalah berita yang dialu-alukan selepas pemain all-star, Irving mengalami keretakan muka dalam kemenangan pada Jumaat lalu ke atas Charlotte apabila dia secara tidak sengaja dilanggar di bahagian mulut oleh rakan sepasukannya.

Horford menerajui lima pemain Celtic dalam menjaringkan mata dua digit semalam ketika Jaylen Brown menjaringkan 18 mata, Terry Rozier menjaringkan 16 mata, Marcus Smart 14 mata dan pemain rookie Jayson Tatum menjaringkan 13 mata dan tujuh ‘rebound’.

Pasukan Celtic adalah pasukan pertama dalam sejarah NBA dengan kemenangan dua digit berturut-turut sambil memiliki lebih dari empat pemain rookie dalam pasukan mereka. Tatum adalah pemain yang dikenali dari enam pemain rookie yang menyumbangkan kepada kejayaan menarik pasukan awal musim.

Norman Powell dari Toronto Raptors (kiri) cuba merampas bola yang dikawal oleh pemain Boston Celtics, Al Horford dalam suku pertama aksi NBA di Boston. – AP

“Ia luar biasa, kami beraksi menentang pasukan yang bagus,” kata Rozier.

Pasukan Raptors berpeluang untuk memenangi perlawanan pada beberapa saat terakhir ketika DeMar DeRozan hanya berdepan dengan Brown tetapi lontarannya ketika loceng dibunyikan terkeluar dari jaring.

Boston terus bertahan biarpun tidak menjaringkan pada 86 saat terakhir.

Pemain pertahanan Irving akan kembali tidak lama lagi ketika dia meluangkan hujung minggunya mengunjungi pakar untuk dipasangkan topeng bagi melindungi keretakan mukanya yang digambarkan sebagai ringan. Doktor-doktor berkata tidak terdapat petanda konkusi, kata jurulatih Brad Stevens. – AFP