Al-Idrus buka tirai dengan kemenangan

Al-Idrus buka tirai dengan kemenangan

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 30 Mac – Pendatang baru Liga Perdana Brunei DST, Al-Idrus Junior FT membuka tirai kempennya musim ini dengan kemenangan 3-2 ke atas Menglait FC, yang sebelum ini mengejutkan Tabuan U-17 dengan jaringan yang sama dalam perlawanan pertamanya.

Al-Idrus Junior FT yang diserap masuk ke dalam Liga Perdana Brunei DST 2016 selaku juara Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 mempamerkan permainan bertenaga sehingga berjaya mendahului perlawanan 1-0 pada minit ke-22 hasil jaringan Mohd Syazwi Awang Mohin.

Pada perlawanan di Kompleks Sukan Tutong (KST) itu, Menglait FC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-33 menerusi jaringan Mohd Hidayattullah Haji Zaini.

Al-Idrus Junior FT berjaya meraih dua gol lagi selepas itu menerusi Haji Muhd Zainol Ariffin Haji Mansor dan Adie Arsham Mohd Salleh berbanding hanya satu gol oleh Menglait FC menerusi Awangku Mohd Nurhidayat Pengiran Haji Abbas.

Al-Idrus Junior FT mencatat kemenangan 3-2 ke atas Menglait FC dalam perlawanan pertamanya di Liga Perdana Brunei DST 2016.
Al-Idrus Junior FT mencatat kemenangan 3-2 ke atas Menglait FC dalam perlawanan pertamanya di Liga Perdana Brunei DST 2016.

Kemenangan itu membawa Al-Idrus Junior FT ke tangga keempat dengan tiga mata, tiga jaringan dan dua bolos, sekali gus menjatuhkan Menglait FC ke tangga keenam, juga dengan tiga mata dari dua perlawanan tetapi dengan lima jaringan dan lima bolos. Di tengah-tengah mereka ialah BESA FC yang baru bermain sekali dengan catatan dua jaringan dan satu bolos.

Tiga kedudukan teratas masing-masing dihuni oleh Setia Perdana dengan empat mata dari dua permainan, Tabuan U-17 dengan tiga mata, tujuh jaringan dan empat bolos dari dua perlawanan, dan BSRC FT dengan tiga mata, lima jaringan dan dua bolos dari dua permainan.

Rimba Star FC dengan satu mata dari satu perlawanan di tangga ketujuh, manakala Kilanas FC yang belum bermain, IKLS FC yang baru bermain sekali dan Panchor Murai FC yang tewas kedua-dua perlawanannya setakat ini masing-masing di tempat kelapan, kesembilan dan kesepuluh.

ARTIKEL YANG SAMA