Al-Idrus FC mara ke final

Al-Idrus FC mara ke final

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Sejarah 2013 akan berulang apabila kedua-dua finalis di dalam Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Veteran dan Piala FA Persatuan Bola Sepak Veteran Kebangsaan akan bertemu dalam kedua-dua peringkat akhir piala berkenaan.

Pasukan Al-Idrus FC hari ini mengesahkan kemaraannya ke peringkat akhir apabila menewaskan Pasukan BSRC di Kompleks Sukan Tutong dengan jaringan 6-1 menjadikan Al-Idrus pencabar terdekat Pasukan XN FT di dalam kedua-dua peringkat akhir berkenaan sedikit masa lagi.

Haji Hassan Haji Damit dan Ishak Haji Ibrahim masing-masing tampil dengan dua jaringan peribadi sementara dua lagi jaringan Al-Idrus dijaringkan oleh Osman Haji Appong dan Hairon Abdullah sementara gol saguhati BSRC dijaringkan Mohd Jazmi Muhd Hadi.

Sejurus selepas mengetahui senarai finalis kedua-dua kejohanan itu, Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Veteran (VFA) merangkap Pengarah Kejohanan KBVK DST 2016, Jabar Ithnin, ketika dihubungi menegaskan kejohanan kali ini mendapat sambutan meriah dan menggalakkan.

“Sebanyak 39 buah pasukan menyertai kejohanan tahun ini dan beberapa pasukan baru juga disenaraikan dalam persaingan kali ini dan ia merupakan perkembangan positif dalam konteks bola sepak veteran di negara ini,” ujarnya.

Pasukan Al-Idrus FC berbincang semasa waktu rehat di separuh masa pertama dalam perlawanan kelmarin.
Pasukan Al-Idrus FC berbincang semasa waktu rehat di separuh masa pertama dalam perlawanan kelmarin.

Katanya, sejarah VFA kali ini seperti ulangan kepada kejohanan tahun 2013 apabila XN FT memasuki peringkat akhir menentang Pasukan Muara Villa, namun kali ini menurutnya langkah kanan bagi Pasukan Al-Idrus FC.

Beliau berharap kedua pasukan akan mempersembahkan kualiti permainan sesuai dengan status mereka sebagai dua buah pasukan elit dalam kancah bola sepak veteran tempatan.

“Namun semua pihak perlu juga ingat untuk terus bermain dengan semangat kesukanan  yang tinggi dan selaras dengan hasrat kejohanan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemain dan kelab,” ujarnya lagi.

Apabila ditanya mengenai kedua-dua pasukan finalis, Jabar berkata, kedua-dua pasukan seimbang dari segi kualiti pemain kerana sama-sama memiliki beberapa orang bekas pemain kebangsaan.

Katanya, apa yang menjadi kayu ukur ialah pasukan yang kurang melakukan kesilapan dan yang mengambil kesempatan menjaring gol daripada peluang yang ada akan tampil sebagai juara.

ARTIKEL YANG SAMA