Al-Idrus FC, XN FT mara ke final

Al-Idrus FC, XN FT mara ke final

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Al-Idrus FC dan XN FT bakal bersemuka di dalam perebutan bagi menjulang Piala FA Persatuan Bola Sepak Veteran tahun 2016 setelah berjaya menumpaskan lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir hari ini.

XN FT menang besar ke atas Pasukan Mohais FT di Kompleks Sukan Sungai Kebun apabila Suni Mat Jerah mendahului penjaring sepasukannya dengan hatrik untuk membantu XN FT mara ke kemuncak Piala FA VFA tahun ini.

Shahrin Momin pula berjaya menjaringkan dua gol diikuti dengan jaringan oleh Radiman Haji Abdul Raan dan Irwan Mohammad menjadikan kedudukan mutakhir berpihak kepada XN FT 7-0.

Sementara itu di Kelab Rekreasi Diraja Brunei pula meyaksikan Al-Idrus gah menumpaskan Pasukan I Team dengan jaringan 3-1 untuk menempatkan Al-Idrus FC sebagai pencabar XN FT pada peringkat akhir nanti.

Jaringan seawal minit pertama Edy Ruslan Abdul Samad seakan menyentap barisan pemain I Team untuk bermain bawah tekanan dan hanya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 melalui Ampuan Mohd Endy Azri.

Namun kedudukan tidak kekal apabila Haji Hassan Haji Damit menambah tekanan kepada Pasukan I Team apabila beliau berjaya menembusi gawang pasukan itu untuk menempatkan Al Idrus FC di hadapan dengan dua jaringan.

Keadaan semakin parah bagi I Team apabila terpaksa akur dengan jaringan Shahrulrizal Rahman 5 minit sebelum wisel penamat di tiup pengadil perlawanan.