Al-Idrus FT teruskan rentak

Al-Idrus FT teruskan rentak

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Al-Idrus Junior FT mencatat kemenangan kedua berturut-turutnya bagi mengekalkan 100 peratus kemenangannya dalam aksi Liga Perdana Brunei DST 2016 dengan mengalahkan Panchor Murai FC 3-2.

Kemenangan itu membawanya naik ke tangga kedua liga dengan enam mata, selepas enam gol dan empat bolos, di belakang Tabuan U-17 yang juga mengumpul enam mata tetapi daripada tiga permainan, dengan kelebihan lapan gol dan empat bolos selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Rimba Star FC di Kompleks Sukan Berakas hasil gol tunggal Abdul Hariz bin Herman pada minit ke-77.

Pada perlawanan di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Al-Idrus Junior FT sudah selesa mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.

Mohd Syazwi bin Mohin membawa Al-Idrus FT mendahului perlawanan 1-0 pada minit ke-15, hanya untuk Panchor Murai FC menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Sahrul bin Haji Sabatu.

Adie Arsham bin Muhd Salleh mengembalikan pendahuluan satu gol Al-Idrus Junior FT pada minit ke-33 dan tiga minit sebelum babak pertama berakhir dia sempat menambah satu gol lagi untuk membawa kedudukan 3-1 ke masa rehat.

Pemain Al-Idrus Junior FT (hijau) bersaing dengan pemain Panchor Murai FC dalam aksi Liga Perdana di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah kelmarin.
Pemain Al-Idrus Junior FT (hijau) bersaing dengan pemain Panchor Murai FC dalam aksi Liga Perdana di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah kelmarin.

Ahmad Asyraf bin Mohd Saudian menjaringkan gol kedua Panchor Murai FC pada minit ke-77 selepas melemaskan penjaga gol Al-Idrus Junior FT dengan cubaan lambungnya dalam situasi 1-Lawan-1.

Jaringan itu menjadikan perlawanan bertambah sengit dengan Panchor Murai FC semakin bersemangat untuk mendapatkan gol penyamaan, tetapi ternyata Al-Idrus Junior FT kental untuk mengekalkan kedudukan dan meraih tiga mata penuh.

Di padang BSRC, Belait pula, perlawanan antara Kilanas FC dengan tuan rumah, BSRC FT berkesudahan seri 2-2.BSRC FT segera membuka akaun jaringan pada minit keempat hasil melalui Junaidi bin Brahim, tetapi di penghujung babak pertama, Kilanas FC berhak mendapat gol penyamaan yang dihasilkan oleh Muhd Nor Alifullah bin Haji Zaini.

Dengan kedudukan 1-1 pada babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan mencari gol kemenangan namun jaringan selanjutnya hanya hadir pada minit ke-81.

Jaringan itu dihasilkan oleh Muhd Hanafi bin Mohd Herry untuk Kilanas FC pula menerajui perlawanan, dengan jaringan 2-1.

Kilanas FC hampir meraih tiga mata tetapi Nur Hazwan Khan bin Asmah Khan mempunyai perancangan lain apabila berjaya membolosi gawang Kilanas FC pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 2-2.

Keputusan seri itu melonjakkan BSRC FT ke tangga ketiga dengan empat mata daripada tiga permainan. Setia Perdana di tempat keempat, juga empat mata tetapi dari dua permainan. BSRC FT mempunyai kelebihan tujuh jaringan dan empat bolos berbanding empat gol dan bolos sekali bagi Setia Perdana.

Kilanas FC pula yang baru sekali bermain kini di tangga keenam dengan satu mata, di atas Rimba Star FC yang juga memungut satu mata tetapi selepas dua permainan. Panchor Murai FC pula terus menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas tiga permainan.