Al-Idrus Jr juara Liga Perdana DST

Al-Idrus Jr juara Liga Perdana DST

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Al-Idrus Junior FT menutup tirai gemilang kempen Liga Perdana DST 2016 mereka dengan kemenangan bergaya 6-0 ke atas IKLS FC walaupun kejuaraan sudah dalam genggaman sebelum sepak mula lagi malam tadi.

Kemenangan membawanya empat mata di depan naib juara, Menglait FC yang mengumpul 21 mata. Sementara Tabuan U-17 merampas tempat ketiga dari tangan BSRC FT selepas menang besar 9-1 ke atas Kilanas FC pada petang Jumaat lalu untuk mengumpul 18 mata, satu mata di depan BSRC FT.

Hadir menyaksikan perlawanan terakhir Liga Perdana DST 2016 di Kompleks Sukan Berakas itu dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Lattif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Awang Abdul Latif juga turut menyampaikan hadiah Anugerah “Fair Play” kepada Tabuan U-17, Anugerah Penjaring Terbanyak kepada Awangku Mohd Nurhidayat bin Pengiran Haji Saripudin daripada Menglait FC yang meledakkan 16 gol musim ini dan Anugerah Pemain Terbaik kepada pemain Al-Idrus Junior FT, Mohd Fadzil Ismail bin Hamdani.

Awang Abdul Lattif semasa menyerahkan Piala Pusingan Liga Perdana kepada juara musim ini, Al-Idrus Junior FT.
Awang Abdul Lattif semasa menyerahkan Piala Pusingan Liga Perdana kepada juara musim ini, Al-Idrus Junior FT.

Pada aksi malam tadi, Al-Idrus Junior FT sudah mendahului 4-0 pada babak pertama menerusi jaringan hatrik Mohd Yaakub Kassim pada minit ke-11, ke-34 dan ke-39, sebelum ditambah satu lagi oleh Muhd Fadzil Ismail pada minit ke-41.

Bersambung ke babak kedua, Abdul Hanan bin Haji Abas meletakkan Al-Idrus Junior FT di depan dengan jaringan 5-0 hanya dua minit selepas rehat dan kemudian mencatatkan namanya dalam senarai penjaring buat kali kedua pada masa kecederaan, minit ke-90+1.

Kempen musim ini yang telah bermula pertengahan Mac lalu menyaksikan 11 pasukan bersaing merebut gelaran juara termasuk Setia Perdana, Rimba Star FC, IKLS FC, Panchor Murai FC, Kilanas FC dan BESA FC.

ARTIKEL YANG SAMA