Al-Idrus Jr manfaatkan keadaan

Al-Idrus Jr manfaatkan keadaan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Al-Idrus Junior memanfaatkan peluang kekalahan tiga pasukan di atasnya dalam aksi Liga Remaja B16 (Bawah 16 Tahun) NFABD hari ini, untuk memanjat tiga anak tangga ke tempat keenam menerusi catatan kemenangan 2-0 ke atas pasukan tercorot, PERDA FC.

Tabuan ‘A’ pula terus mengukuh cengkamannya di puncak liga dengan 60 mata menerusi kemenangan 3-0 ke atas BTC Red Star, manakala saudaranya, Tabuan ‘B’ naik ke tangga ketiga dari tangga kelima dengan 36 mata setelah menang besar 8-1 ke atas BESA FC.

Rimba Star kekal di tempat keempat walaupun turut meraih tiga mata untuk mengumpul 36 mata, sama dengan Tabuan ‘B’, selepas menang 1-0 ke atas Kilanas FC Junior, tetapi akur dipintas Tabuan ‘B’ yang mencatat 37 jaringan dan 23 bolos hasil daripada kemenangan besar hari ini berbanding 29 jaringan dan 18 bolos yang dicatatnya. Dalam satu lagi perlawanan, pasukan di tempat kedua iaitu Projek Ikan Pusu (PIP) berjaya diikat 1-1 oleh Kasuka FC. Keputusan itu tidak merubah kedudukan PIP tetapi menyebabkan Kasuka FC jatuh dari tempat ketiga ke tempat kelima, dipintas oleh Tabuan ‘B’ (naik ke tempat ketiga) dan Rimba Star (kekal di tempat keempat).

Aksi mencemaskan dalam petak Perda FC dalam salah satu serangan bahaya Al-Idrus Junior melalui sepakan sudut.
Aksi mencemaskan dalam petak Perda FC dalam salah satu serangan bahaya Al-Idrus Junior melalui sepakan sudut.

Kesemua 10 pasukan dalam liga remaja berkenaan kini sudah bermain 22 kali, dengan perlawanan hari ini merupakan perlawanan ketiga masing-masing dalam pusingan ketiga liga. Tabuan ‘A’ ternyata sudah jauh meninggalkan sembilan pasukan lain, manakala pasukan-pasukan di tempat kedua hingga kelima masih bersaing rapat, dan begitu juga pasukan di tempat keenam hingga kesembilan.

Maka baki enam lagi perlawanan pasti menjanjikan perubahan kedudukan carta liga secara berterusan.

ARTIKEL YANG SAMA