Al-Idrus juarai Liga Brunei dan Muara

Al-Idrus juarai Liga Brunei dan Muara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Kejuaraan Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 sah menjadi milik Al-Idrus Junior FT setelah berjaya menewaskan MSN United FC 6-3 malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Al-Idrus Junior FT mengumpul enam mata dalam Pusingan Akhir Tiga Pasukan yang dijalankan secara format liga satu pusingan berkenaan selepas ia turut menang dalam perlawanan pertamanya, 4-1 ke atas DSP United FC pada 5 Mac lalu.

Naib juara liga berkenaan pula menjadi milik DSP United FC yang mengumpul tiga mata hasil daripada kemenangannya, 7-0 ke atas MSN United FC pada 7 Mac lalu, manakala MSN United FC yang tewas kedua-dua perlawanannya terpaksa berpuas hati memenangi tempat ketiga.

Hadir menyaksikan perlawanan terakhir antara Al-Idrus Junior FT dengan MSN United FC itu dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada tiga pasukan terbaik liga berkenaan ialah Yang Di-Pertua Pertubuhan Bolasepak Daerah Brunei Muara (PBDBM), Haji Juned bin Haji Ramli.

Pada perlawanan di Kompleks Sukan Sungai Kebun (KSSK) malam tadi, Al-Idrus Junior FT mendahului 3-1 pada separuh masa pertama dengan tirai jaringan dibuka oleh Awang Mohd Isa bin Haji Bahar pada minit ke-29.

Ketua pasukan Al-Idrus Junior FT ketika menerima Piala Pusingan Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara anjuran PBDBM.
Ketua pasukan Al-Idrus Junior FT ketika menerima Piala Pusingan Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara anjuran PBDBM.

Pendahuluan 1-0 itu hanya bertahan tiga minit apabila Awang Mohd Akmalluddin bin Abdullah menyamakan kedudukan buat MSN United FC, tetapi Awang Mohd Isa mengembalikan pendahuluan satu gol Al-Idrus Junior FT menerusi jaringannya pada minit ke-36.

Awang Mohd Fadzil Ismail bin Hamdani membawa Al-Idrus Junior FT mendahului 3-1 sehingga rehat apabila mencatat namanya sebagai penjaring pada minit ke-39.

Hanya enam minit selepas rehat iaitu pada minit ke-51, kedudukan menjadi 2-3 apabila Awang Mohd Akmalluddin mencatat gol kedua peribadi dan pasukannya, sementara itu, Awang Mohd Isa pula melakukan hatrik pada minit ke-54 untuk Al-Idrus Junior FT mendahului dengan dua gol iaitu 4-2.

Awang Mohd Akmalluddin tidak mengalah bahkan membuktikan beliau juga mampu mencatat hatrik apabila menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-67 untuk merubah kedudukan menjadi 3-4.

Namun sebagaimana dua gol awal Awang Mohd Akmalluddin, gol ketiganya itu turut berjaya dibalas oleh Awang Mohd Isa dalam masa tiga minit saja, sekaligus menjadikan gol peribadinya kepada empat jaringan dan Al-Idrus Junior FT mendahului 5-3.

Jaringan Awang Mohd Amalul bin Said pada minit ke-78 untuk Al-Idrus Junior FT menghentikan sama sekali semangat mengejar MSN United FC sekaligus memuktamadkan keputusan pada kedudukan jaringan 6-3.

ARTIKEL YANG SAMA