Al-Idrus SC, AH United mara ke final

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Kejohanan Piala Presiden II Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam diteruskan baru-baru ini yang menyaksikan dua perlawanan peringkat separuh akhir antara Pasukan AH United berdepan Pasukan Teruja FC dan Pasukan Al-Idrus SC menentang PSJD.

Pada perlawanan pertama Jumaat lalu menyaksikan persaingan sengit di antara AH United dan Teruja FC yang berlangsung di Stadium Mini Jerudong yang akhirnya berpihak kepada Pasukan AH United melalui jaringan tunggal Awang Adi Masul bin Haji Sulaiman pada 10 minit terakhir perlawanan berkenaan.

Manakala pada perlawanan separuh akhir kedua separuh akhir Piala Presiden II yang diadakan di Kelab Rekreasi Diraja Brunei, Berakas menyaksikan perlawanan di antara Pasukan Al-Idrus SC dan Pasukan PSJD ditentukan melalui sepakan penalti.

Aksi antara Al-Idrus SC (putih) dengan PSJD dalam saingan separuh akhir Piala Presiden II baru-baru ini. – Gambar oleh Hasrulraizan

Dalam perlawanan itu, Mohd Noor Tanjung memanfaatkan peluang mendahului PSJD apabila pertahanan Al-Idrus SC dihukum pada minit ke-53 sebelum Awang Hairol Abdullah menyamakan kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-74.

Dalam pusingan penentuan penalti Pasukan Al-Idrus SC muncul sebagai pemenang apabila semua lima percubaan berjaya disempurnakan dan penjaga gawang Al-Idrus SC bertindak cemerlang menepis percubaan terakhir PSJD untuk memperoleh kemenangan 5-4.