Al-Idrus tepati ramalan mara pusingan akhir

Al-Idrus tepati ramalan mara pusingan akhir

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Juara Kumpulan B, Al-Idrus Junior FT menepati ramalan mara ke pusingan akhir Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 apabila mudah menundukkan naib juara Kumpulan A, IKERAB FT malam tadi dengan jaringan 4-1.

Jentera tempur Al-Idrus Junior FT pada perlawanan di di Kompleks Sukan Sungai Kebun (KSSK) itu dilihat lambat panas namun tetap berjaya melaksanakan tugas walau sekadar satu gol dijaringkan yang disumbangkan oleh Mohd Isa bin Haji Bahar pada minit ke-37.

IKERAB FT dilihat cuba bangkit di separuh masa kedua dengan ledakan gol penyamaan, 1-1, oleh Abdul Hanan bin Haji Abas pada minit ke-54, cuma untuk Mohd Amalul bin Said mengembalikan semula pendahuluan satu gol Al-Idrus Junior FT hanya tiga minit selepas gol penyamaan itu.

Kemudian kedudukan menjadi lebih selesa buat Al-Idrus Junior FT apabila Mohd Isa berjaya meledak gol kedua peribadinya malam tadi pada minit ke-78 sekali gus merubah kedudukan menjadi 3-1.

Apabila Mohd Amalul pula mencatat namanya sebagai penjaring buat kali kedua pada minit ke-87 iaitu ketika perlawanan masih berbaki tiga minit untuk terus bertambah selesa mendahului 4-1, IKERAB FT jelas sekali tiada jawapan lagi buat ketiga-tiga gol lawan di babak kedua berkenaan.

Menerusi kemenangan itu, Al-Idrus Junior FT mengiringi DSP United FC yang sudah mara pada malam 29 Februari lalu setelah menang 2-1 ke atas Seri Bolkiah FC.

Kini hanya tinggal satu slot pusingan akhir sahaja lagi, yang akan menjadi rebutan di antara naib juara Kumpulan C, Plan Batu dengan juara Kumpulan A, MSN United FC malam ini di KSSK bermula pukul 8 malam.

Pusingan akhir Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara akan dijalankan secara sistem ‘Liga Satu Pusingan’ (round robin), maka pasukan yang menduduki tangga teratas liga tiga pasukan itu akan mengesahkan dirinya selaku juara sekaligus meraih slot ‘play-off’ untuk merebut satu dari dua kuota Liga Perdana DST Brunei 2016 yang disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA