Al-Ikhwan dan As-Syifa juara Dikir Syarafil Anam

Al-Ikhwan dan As-Syifa juara Dikir Syarafil Anam

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 16 Feb – Pasukan Pekan Tutong iaitu Kumpulan Al-Ikhwan bagi pasukan lelaki dan Kumpulan As-Syifa bagi pasukan perempuan, telah merangkul gelaran juara kategori masing-masing dalam Pertandingan Dikir Syarafil Anam bagi Mukim-mukim Daerah Tutong bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi Tahun ini.

Hadir menyempurnakan hadiah kepada para pemenang dan peserta pada majlis yang berlangsung di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, petang tadi, ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam selaku tetamu kehormat.

Sebanyak enam kumpulan bagi kategori lelaki dan lima kumpulan perempuan telah menyertai pertandingan berkenaan bagi mewakili mukim masing-masing. Kumpulan-kumpulan dikir telah diberikan pilihan empat lagu dikir iaitu Khairuman, Bisyahrin, Alhamdulillah dan Badat sebagai lagu pilihan untuk dipertandingkan.

Pemenang-pemenang pertandingan ini nanti akan dipilih menjadi wakil Daerah Tutong untuk menyertai pertandingan Peringkat Mukim-mukim Negara Brunei Darussalam.

Antara yang hadir pada Majlis petang kelmarin di Rumah Kediaman Rasmi, Pegawai Daerah Tutong.
Antara yang hadir pada Majlis petang kelmarin di Rumah Kediaman Rasmi, Pegawai Daerah Tutong.
Kumpulan As-Syifa dari Pekan Tutong telah merangkul juara Pertandingan Dikir Syarafil Anam bagi Mukim-mukim Daerah Tutong bagi Kategori Perempuan.
Kumpulan As-Syifa dari Pekan Tutong telah merangkul juara Pertandingan Dikir Syarafil Anam bagi Mukim-mukim Daerah Tutong bagi Kategori Perempuan.

Pertandingan Dikir Syarafil Anam merupakan anjuran Majlis Perundingan Mukim (MPM) Keriam dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dikelolakan bersama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sinaut dan Jawatankuasa Tertinggi Maulud Nabi Muhammad S.A.W Daerah Tutong.

Ia merupakan salah satu kegiatan tahunan MPM di Daerah Tutong yang dianjurkan secara bergilir-gilir dengan tujuan bagi mempelajari dan menghalusi bacaan Syarafil Anam dan seterusnya dapat mengukuhkan lagi silaturahim dalam kalangan penduduk setiap mukim di daerah ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, ketua-ketua pegawai agama Daerah Tutong, pemangku penolong pegawai Daerah Tutong, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong dan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong serta ahli-ahli MPM Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA