Al-Jauharah dilancar sempena Sambutan Jubli Perak Ma’had Islam

Al-Jauharah dilancar sempena Sambutan Jubli Perak Ma’had Islam

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 17 Nov – Sempena penubuhan Ma’had Islam Brunei yang ke-25 Tahun, Majlis Membaca Yasin, Doa Kesyukuran dan Pelancaran Majalah Al-Jauharah telah diadakan di Dewan Ma’had Islam Brunei, Tutong, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat sempena Majlis Jubli Perak Ma’had Islam Brunei itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Majlis pagi tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Surah Yasin dan Doa Kesyukuran diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengetua Ma’had Islam Brunei, Pengiran Haji Asmady bin Pengiran Haji Aliuddin.

Menurut Pemangku Pengetua Ma’had Islam Brunei, majlis pagi ini merupakan julung kali diadakan untuk memohon keberkatan, taufik, hidayat dan keredhaan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar pendidikan Agama dan Arab di negara ini berkembang maju dari semasa ke semasa.

Di samping itu, tujuan majlis ini diadakan adalah sebagai mengenang jasa dan khidmat bakti para pegawai, guru-guru, kakitangan dan para pelajar yang pernah bertugas di Ma’had Islam Brunei.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin melancarkan Majalah Al-Jauharah sempena Majlis Jubli Perak Ma’had Islam Brunei.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin melancarkan Majalah Al-Jauharah sempena Majlis Jubli Perak Ma’had Islam Brunei.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin menyampaikan Cenderahati Jubli Perak kepada salah seorang bekas pengetua Ma’had Islam Brunei.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin menyampaikan Cenderahati Jubli Perak kepada salah seorang bekas pengetua Ma’had Islam Brunei.
Antara para jemputan yang hadir semasa Majlis Membaca Yasin dan Doa Kesyukuran Di Dewan Ma’had Islam Brunei pagi kelmarin.
Antara para jemputan yang hadir semasa Majlis Membaca Yasin dan Doa Kesyukuran Di Dewan Ma’had Islam Brunei pagi kelmarin.

Semenjak penubuhan sekolah itu sehingga sekarang, Pengiran Haji Asmady menjelaskan sekolah ini telah mencapai banyak kejayaan. Antaranya dari segi Akademik, peratusan pelajar mendapat 5A dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama (SPU) telah meningkat berbanding sebelumnya.

“Sistem pembelajaran yang diguna pakai di persekolahan Arab telah terbukti mampu melahirkan cendekiawan dalam bidang ugama dan umum,” katanya lagi.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin dan seterusnya melancarkan Majalah Al-Jauharah.

Penerbitan Majalah Al-Jauharah ini dihasilkan sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun penubuhan Ma’had Islam Brunei.

Antara para pelajar yang turut memeriahkan Majlis Jubli Perak Ma’had Islam Brunei.
Antara para pelajar yang turut memeriahkan Majlis Jubli Perak Ma’had Islam Brunei.
Majalah Al-Jauharah bakal menjadi bahan rujukan warga Ma’had Islam Brunei.
Majalah Al-Jauharah bakal menjadi bahan rujukan warga Ma’had Islam Brunei.

Penerbitan majalah ini sudah tentu menjadi bahan rujukan pihak-pihak yang berkenaan khususnya warga Ma’had Islam Brunei.

Majalah ini memuatkan pelbagai informasi penting termasuk visi, misi, matlamat, latar belakang dan sejarah penubuhan sekolah itu, perkembangan, pencapaian dan kemajuan sepanjang penubuhannya.

Sambutan diteruskan lagi dengan penyampaian Cenderahati Jubli Perak kepada bekas pengetua dan penolong pengetua Ma’had Islam Brunei dan seterusnya penyampaian khas kepada kakitangan Ma’had Islam Brunei yang telah bertugas selama 25 tahun yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin.

Ma’had Islam Brunei adalah salah sebuah sekolah Arab yang telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 17 Julai 1990M bersamaan 13 Zulhijjah 1410H.

ARTIKEL YANG SAMA