Al-Jazeera kurangkan 500 pekerjaan

Al-Jazeera kurangkan 500 pekerjaan

DOHA, 27 Mac (AFP) – Penyiaran Al-Jazeera mengatakan hari ini yang ia akan mengurangkan sekitar 500 pekerjaan, kebanyakannya di ibu pejabat Qatar, sebagai sebahagian daripada ‘inisiatif mengoptimumkan tenaga kerja’.

Al-Jazeera mengatakan selepas penilaian semula pihak pengurusan, ia ‘menjangkakan sekitar 500 jawatan di seluruh dunia akan terjejas, majoritinya di Qatar’.

Menurut pengurus Al-Jazeera, kira-kira 60 peratus pengurangan kerja – 300 jawatan – akan menjejaskan pangkalan penyiaran Doha.

Mengumumkan pengurangan kerja dalam satu kenyataan, timbalan ketua pengarah Mostefa Souag berkata: “Berdasarkan kajian semula ini, kami telah memulakan inisiatif mengoptimumkan tenaga kerja yang akan membolehkan kami mengembangkan operasi perniagaan untuk mengekalkan kedudukan utama dan meneruskan komitmen kami yang diiktiraf kepada kewartawanan berkualiti tinggi, bebas serta hebat dan mengesankan di seluruh dunia.

“Walaupun keputusan kami adalah konsisten dengan apa yang dilakukan dalam industri media seluruh dunia, namun ia adalah keputusan yang sukar dilakukan.”

Tambahnya: “Bagaimanapun, kami yakin ia adalah langkah betul dalam memastikan pencapaian dan persaingan jangka panjang rangkaian berkenaan.

Seorang pengurus Al-Jazeera memberitahu AFP bahawa kekurangan kerja pertama itu akan bermula pada minggu depan, dan kebanyakannya melibatkan jawatan bukan editorial.

Pengumuman yang disiarkan penyiaran itu, yang dibiayai oleh kerajaan Qatar, muncul dua bulan selepas ia mengatakan akan menutup Al-Jazeera America pada April dengan kehilangan sekitar 700 kerja.

Sebelum pengumuman hari ini itu, syarikat tersebut menggaji sekitar 4,500 pekerja di seluruh dunia.

Al-Jazeera tahun ini meraikan ulang tahun ke-20nya.

Pengurangan kerja terbaru itu muncul ketika Qatar, sebuah pengeluar minyak dan gas terbesar, bergelut dengan kemerosotan global dalam harga tenaga.

Qatar telah meramalkan defisit bajet lebih AS$12 bilion pada 2016, yang pertama dalam masa 15 tahun.

Emir Sheikh Tamim bin Hama dal-Thani bercakap pada Disember mengenai ‘perbelanjaan membazir, kakitangan berlebihan dan kekurangan kebertanggungjawaban’ di seluruh Qatar.