Al-Mourabitoun nafi Belmokhtar maut

Al-Mourabitoun nafi Belmokhtar maut

NOUAKCHOTT, 19 Jun (Reuters) – Kumpulan Islam berpangkalan di Sahara, al-Mourabitoun semalam menafikan laporan bahawa militan Algeria Mokhtar Belmokhtar, salah seorang pemimpinnya, terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat di timur Libya pada minggu lepas.

Kerajaan Libya pada mulanya mengumumkan Ahad lepas bahawa Belmokhtar, yang dipersalahkan kerana serangan maut ke atas padang gas Algeria pada 2013 dan pembabitannya dalam pemberontakan di seluruh Afrika Utara, terbunuh bersama-sama pemimpin militan lain.

Sementara Washington mengesahkan bahawa beliau merupakan sasaran serangan itu, ia masih belum lagi menyatakan sama ada beliau terbunuh dalam serangan berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang diterima agensi berita Mauritania, Alakhbar, kumpulan al-Mourabitoun menafikan Belmokhtar hadir di kawasan yang disasarkan dalam serangan itu.

“Kami mengumumkan kepada sahabat-sahabat mujahid semua di seluruh pelosok dunia bahawa berita kematian komander Khaled Abou El Abbas dalam serangan udara Amerika adalah palsu,” kata kenyataan itu, merujuk kepada Belmokhtar dengan menggunakan salah satu nama lain beliau.

Reuters tidak dapat mengesahkan ketulenan kenyataan itu, yang diterbitkan dalam bahasa Arab melalui laman sesawang Alakhbar.

ARTIKEL YANG SAMA